Pandu Honda Jazz edar dadah di Miri

MIRI— Polis menahan seorang lelaki tempatan selepas syabu seberat 5,709 gram ditemui dalam kereta Honda Jazz yang dipandunya di Jalan Kubu, di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Alexson Naga Chabu berkata, suspek ditahan oleh anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Miri dalam Ops Tapis Khas SeMalaysia pada jam 7 malam.

“Anggota berjaya menahan suspek yang memandu sebuah kereta jenis Honda Jazz warna perak kerana disyaki terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.

“Hasil serbuan tersebut, pasukan serbuan telah menjumpai dan merampas lima bungkusan
paket warna hijau barang disyaki dadah jenis Methamphetamine berjumlah 5,700 gram.

“Nilai rampasan barang disyaki dadah dan barang kes yang dirampas dianggarkan bernilai RM218,100,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Alexson menambah, suspek dibawa ke Mahkamah Miri untuk permohonan reman bagi membantu siasatan.

Katanya, kes ini disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau jika tidak dihukum mati, boleh dipenjara seumur hidup dan dikenakan sebatan tidak kurang 12 kali. 

Beliau menasihatkan orang awam yang mempunyai maklumat mengenai aktiviti penyalahgunaan dadah ini untuk segera melaporkannya ke Balai Polis berhampiran agar aktiviti ini dapat dibendung dan dibanteras bersama.
Next Post Previous Post