Penilaian standard Tahun 6, Tingkatan 3 dilaksana 2025

Roland Sagah semasa sidang media di DUN Sarawak hari ini.

KUCHING— Penilaian standard untuk murid Tahun Enam dan pelajar Tingkatan Tiga negeri ini dijadualkan bermula pada 2025, kata Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn.

Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat itu berkata, kementerian akan memberi tumpuan kepada mata pelajaran Program Dwi Bahasa (DLP), iaitu Sains, Matematik dan Bahasa Inggeris.

Beliau berkata, penilaian tersebut adalah penting kerana ia akan berfungsi sebagai satu cara untuk mengukur keberkesanan DLP, selaras dengan inisiatif lain yang dilaksanakan untuk meningkatkan penglibatan dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM).

“Ketika ini cadangan itu masih lagi di peringkat penyelidikan oleh pakar dalam bidang pendidikan dalam jawatankuasa khas di bawah Setiausaha Tetap MIETD dan Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS).

“Penilaian yang dicadangkan tidak akan menimbulkan tekanan yang tidak wajar kepada semua pihak – pelajar, guru, sekolah dan ibu bapa,” katanya pada sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.

Roland menambah, penilaian khas bagi murid Tahun Enam yang dikenali sebagai Penilaian Sekolah Rendah Modul Sarawak itu bertujuan menilai pencapaian sebenar sebelum mereka melanjutkan pengajian ke peringkat menengah khususnya pemilihan untuk memasuki sekolah berasrama penuh (SBP).

Awal bulan ini, Sagah berkata kerajaan negeri mahu mewujudkan peperiksaan penilaian sendiri untuk murid Tahun 6 di semua sekolah kerajaan dan cadangan itu telah diterima baik oleh KPM dan rakyat Sarawak.
Next Post Previous Post