Lesen edar LPG bersubsidi MYGAZ tamat 30 Nov, PETROSNiaga ambil alih

KUCHING-- Lesen pengedaran Gas Petroleum Cecair (LPG) bersubsidi untuk Syarikat MYGAZ Sdn Bhd yang tamat pada 30 November 2023 tidak akan diperbaharui semula.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Dato Sri Julaihi Narawi berkata, keputusan tidak memperbaharui lesen pengedaran LPG MYGAZ itu bagi memberi peluang kepada syarikat tempatan, PETROSNiaga untuk mengambil alih.

"PETROSNiaga adalah syarikat tempatan yang dimiliki oleh PETROS sebanyak 51 peratus ekuiti dan 49 peratus milik Petronas Dagangan Berhad manakala MYGAZ adalah anak Syarikat SIAM Gas, yang merupakan sebuah syarikat pembekal LPG dari Thailand.

“Selepas pertimbangan teliti, kementerian saya memutuskan bahawa lesen LPG bersubsidi untuk Syarikat MYGAZ yang tamat pada 30 November 2023 tidak diperbaharui.

"Ini bermakna MYGAZ tidak lagi dibenarkan menjalankan perniagaan LPG bersubsidi bermula 1 Disember 2023," katanya.

Julaihi berkata demikian dalam ucapan penggulungan kementeriannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Sehubungan itu, beliau memberitahu kerajaan Sarawak mengucapkan terima kasih kepada MYGAZ yang telah menjadi pembekal LPG bersubsidi sejak mengambil alih daripada SHELL bermula pada 2013.

Mengulas lanjut, Julaihi berkata lesen LPG tanpa subsidi untuk MYGAZ masih lagi sah sehingga 29 Jun 2024.

Oleh itu, katanya, syarikat tersebut masih lagi menjalankan perniagaan LPG tanpa subsidi di Sarawak.

"Pada masa ini, terdapat dua syarikat pembekal LPG bersubsidi iaitu PETROSNiaga menguasai 68 peratus pasaran di seluruh Sarawak manakala 32 peratus dikuasai oleh MYGAZ," ujarnya.

Tambahnya lagi, susulan itu juga, PETROSNiaga dilantik sebagai pengedar LPG bersubsidi di Sarawak bermula 1 Disember nanti.

"Kita yakin PETROSNiaga dengan kekuatan 65 pengedar dan 280 pengedar kecil akan memberi peluang pekerjaan kepada ribuan rakyat Sarawak.

"Pada masa sama sebanyak 16 pengedar yang bernaung di bawah MYGAZ sebelum ini boleh beralih kepada PETROSNiaga untuk mendapatkan bekalan LPG bersubsidi.

“Dengan ini, tidak timbul isu kehilangan pekerjaan seperti didakwa oleh pihak tertentu, seperti mana juga semasa MYGAZ mengambil alin operasi daripada SHELL pada 2013,” tegasnya.

Baru-baru ini, Pengerusi Parti Tindakan Rakyat (DAP) Sarawak, Chong Chieng Jen menggesa kerajaan Sarawak untuk tidak menamatkan lesen pengedaran gas MyGaz dan membenarkan Petros Niaga memonopoli perniagaan pengedaran LPG di negeri ini. 

Beliau mendakwa, ia bukan sahaja menghentikan semua perniagaan MyGaz di Sarawak, tetapi juga menghentikan perniagaan semua peruncit dan pengedar MyGaz di Sarawak dan pekerja mereka.

Tambah, Chong yang juga ADUN Padungan, walaupun beberapa tahun telah berlalu sejak penurunan kuasa itu, namun, ia masih tidak memberi sebarang manfaat kepada rakyat negeri ini.

“Tiada pengurangan harga LPG kepada pengguna dan tiada pengurangan kos penghantaran kepada pengguna.

“Dengan wujudnya monopoli ini dalam perniagaan pengedaran LPG di Sarawak bermula Disember 2023, dan bukannya menikmati apa-apa faedah daripada penurunan kuasa, rakyat Sarawak mungkin akan dikenakan bayaran lebih untuk penggunaan LPG mereka pada masa akan datang," ujarnya
Next Post Previous Post