Kedudukan Ketua Pembangkang DUN Sarawak masih jadi tanda tanya

KUCHING— Ketiadaan Ketua Pembangkang susulan tindakan Presiden PSB Wong Soon Koh beralih arah menyokong GPS meresahkan DAP Sarawak.

Aktivis DAP Sarawak, Michael Kong Feng Nian berkata, pucuk pimpinan negeri perlu mengumumkan nama ketua Pembangkang yang baharu yang berperanan sebagai semak dan imbang kerajaan sedia ada.

“DAP kesal kerana sehingga kini Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak belum mengumumkan secara rasmi pelantikan Ketua Pembangkang di persidangan DUN.

“Ini menimbulkan kebimbangan tentang pematuhan kepada norma yang ditetapkan dalam rangka sistem Parlimen Westminster. Ketiadaan ketua pembangkang menafikan perwakilan rakyat yang menjadi teras penting dalam proses demokrasi yang sihat,” katanya dalam kenyataan semalam.

Michael yang juga Pembantu Khas kepada Pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen justeru menggesa Speaker DUN Sarawak untuk meneliti perkara itu dan melantik Ketua Pembangkang serta memberikannya sumber yang diperlukan.

“Dalam masyarakat demokratik, jawatan Ketua Pembangkang berdiri sebagai tonggak penting, memastikan perbahasan yang mantap, akauntabiliti dan perwakilan semua pendapat. Maka, ia (pelantikan Ketua Pembangkang) sewajarnya diberikan keutamaan.

“Penting untuk kita menjaga integriti sistem parlimen kita dengan memastikan setiap suara, tanpa mengira pendiriannya, diberi pengiktirafan dan sumber yang sewajarnya untuk memenuhi tanggungjawab demokrasi,” kata Michael.

Beliau menambah, pengiktirafan Ketua Pembangkang juga tidak terikat atas nama sahaja, sebaliknya peranan mereka harus dibantu dari segi peruntukan pejabat dan kakitangan.

Katanya, sokongan ini diharap dapat memperkasa peranan ketua pembangkang sebagai semak imbang dasar dan tindakan kerajaan.

“Ini bukan soal simbolisme semata-mata tetapi prinsip asas demokrasi yang berfungsi,” katanya.

Untuk rekod, pada 18 November lalu, Speaker DUN Sarawak, Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar berkata, Soon Koh bukan lagi ketua pembangkang kerana tidak memainkan peranan sebagai pembangkang dan dibuktikan semasa Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Jepak. 

“Kedudukan PSB dan penyokongnya beralih pendirian semasa PRK Jepak berlangsung dan mereka secara terbuka memberikan sokongan kepada calon GPS termasuk semasa berkempen. 

“Oleh itu, mereka tidak melihat diri mereka memainkan peranan sebagai pembangkang lagi,” katanya dipetik Utusan Malaysia selepas Mesyuarat Pra Majlis sempena Persidangan DUN Sarawak di Ibu Pejabat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Julai lalu, PSB yang merupakan parti pembangkang Sarawak mengumumkan sokongan terhadap pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Sokongan tersebut membawa PSB dan PDP menandatangani satu perjanjian persefahaman di Kuala Lumpur bagi membentuk kerjasama dan pada masa yang sama bertujuan untuk menggabungkan kedua-dua parti tersebut.

Ogos lalu, Presiden PDP, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, PDP dan PSB dijangka mewujudkan gabungan kedua parti Disember ini.

Bagaimanapun, Abang Johari yang juga Pengerusi GPS sekali lagi menegaskan gabungan jalinan kerjasama antara komponen parti GPS iaitu -PDP dan parti pembangkang Sarawak -PSB tidak ada kaitan dengan GPS.
Next Post Previous Post