Tiada perhimpunan, perbicaraan kes rusuhan di Machan, Kanowit ditangguh

SIBU— Tiada perhimpunan berhubung perbicaraan kes rusuhan di Machan, Kanowit di Mahkamah Sibu pagi tadi.

Borneo Network difahamkan, kes perbicaraan yang dijadualkan hari ini telah ditangguhkan pada 21 November 2023.

Tinjauan pagi tadi mendapati beberapa anggota polis berada lokasi selain menggunakan dron bagi memantau sekiranya terdapat sebarang perhimpunan.

Tiada sekatan jalan raya dan difahamkan pihak polis beredar selepas jam 9 pagi.

Semalam Borneo Network melaporkan, Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri mengeluarkan perintah selama 7 hari bagi menghalang perhimpunan di Mahkamah Sibu.

“Polis Sarawak telah menerima maklumat bahawa satu perhimpunan akan diadakan di Mahkamah Sibu pada Selasa 17 Oktober 2023.

“Justeru, perintah mahkamah di bawah Seksyen 98 Tatacara Jenayah iaitu perintah sementara menghalang perhimpunan dalam kes-kes kacau ganggu telah dikeluarkan selama tempoh 7 hari dari tarikh 17 sehingga 23 Okt 2023,” katanya.

Beliau turut menamakan lapan individu yang dilarang untuk menghadiri perhimpunan iaitu Mathew Mudai Anak Umpi, Jonas Ling Lee King, Andrew Lau Chii Chuong, Alistair Lau Chii Kiat, Chua Yieng Hui, Lawrence Anak Clement Ahsay, Napoleon Anak Lawik dan Alim@Giovanni Adlim Ak Mideh

“Sekiranya penama-penama ingkar perintah, mereka boleh dihukum penjara sehingga sebulan atau denda RM400 atau kedua-duanya di bawah Seksyen 188 Kanun Keseksaan.

“Dan jika keingkaran menyebabkan bahaya kepada nyawa atau mungkin menyebabkan rusuhan hendaklah dihukum penjara sehingga enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya.
Next Post Previous Post