Mayat tiga remaja lemas di Sungai Batang Lassa dijumpai dalam keadaan sempurna

SIBU: Mayat tiga remaja yang lemas semasa mandi-manda di kawasan Batu Nangar Daro Sungai Batang Lassa pada petang Ahad lalu dijumpai pasukan SAR awal pagi tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak dalam kenyataannya hari ini berkata, Bilik Kawalan BBP Daro telah menerima panggilan dari orang awam pada jam 6.30 pagi yang mengatakan mangsa pertama iaitu Herodias Anak Enggung, 13, ditemui oleh pekerja feri berhampiran pengkalan feri Muara Lassa.

"PKO BBP Daro kemudiannya ke lokasi untuk membuat pengesahan seterusnya menyambung operasi SAR bagi mencari dua lagi rakan mangsa yang masih hilang," ujarnya.
Jasad mangsa pertama telah dibawa ke jeti dan seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.

Pada jam 8.22 pagi, mangsa kedua yang dikenali sebagai Sebastian Oziel Seman Anak Umpi, 13, telah dijumpai oleh pasukan penyelamat ketika anggota meneruskan pencarian di sepanjang sungai dan ditemui pada jarak 2 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan lemas.

Seterusnya, jasad mangsa terakhir yang dikenali sebagai Aldrin Gambang Allan Kiai, 13 turut dijumpai pada jarak 4 kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan lemas pada jam 9.05 pagi.

Ketiga-tiga jasad mangsa ujarnya kemudiannya diserahkan kepada pihak PDRM untuk tindakan selanjutnya.

Dengan penemuan mayat mangsa ini sekaligus menamatkan usaha SAR pada hari ke-3 tepat jam 10 pagi.

Gambar PGO Sarawak
Next Post Previous Post