SPRM bongkar kegiatan penipuan pembekalan 28,000 tan beras bernilai RM100 juta

KUALA LUMPUR— Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membongkar kegiatan penipuan oleh sebuah syarikat pembekalan beras di Kedah yang menyebabkan kepincangan pengedaran dan penjualan bahan makan ruji negara itu.

Menurut sumber, syarikat terbabit telah mendapat kontrak pembekalan beras daripada sebuah syarikat pertanian milik kerajaan negeri bernilai lebih RM100 juta setahun kira-kira tujuh tahun lalu bagi pembekalan beras di Semenanjung Malaysia.

Jelas sumber itu, berdasarkan kontrak tersebut, syarikat terbabit telah membuat pinjaman bank kira-kira RM30 juta sebagai pembiayaan projek tersebut beberapa tahun lalu. 

"Pengarah syarikat tersebut telah berpakat dengan seorang ahli lembaga pengarah syarikat milik kerajaan negeri tersebut untuk mengesahkan pembelian dan penghantaran sebanyak 28,000 tan beras setahun bernilai lebih RM100 juta namun pembekalan tersebut tidak dibuat.

"Syarikat tersebut dikatakan telah pun menerima amaun kira-kira RM30 juta itu menerusi beberapa transaksi," katanya.

Kata sumber itu lagi, suspek terbabit juga dikatakan telah mengemukakan dokumen yang mempunyai butiran matan palsu kepada pihak bank untuk proses permohonan pembiayaan pinjaman.

Sementara itu, Pengarah Kanan Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan berkaitan siasatan tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

 SPRM belum membuat tangkapan buat masa ini.
Next Post Previous Post