Isteri maut motosikal dilanggar Hilux ketika keluar simpang Biawak
LUNDU-- Padah tidak berhenti ketika keluar dari simpang, seorang pembonceng maut manakala penunggang cedera selepas motosikal mereka dilanggar sebuah kereta pacuan empat roda (4WD) di kawasan simpang Biawak kilometer 07 Jalan Lundu-Sematan pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Lundu DSP Damataries Lautin berkata, dalam kejadian 10.40 pagi itu, mangsa yang maut dikenali sebagai Natalia Saimah, 61, warganegara Indonesia, merupakan isteri kepada penunggang, 68 tahun.
"Siasatan awal di tempat kejadian mendapati motosikal Honda Ex 5 yang ditunggang pasangan suami isteri terbabit datang dari arah Biawak menuju ke arah Lundu dipercayai telah keluar Simpang Biawak dan terus memasuki lorong kanan sekali tanpa berhenti di simpang terlebih dahulu.
"Pada masa sama sebuah 4WD jenis Toyota Hilux yang dipandu seorang lelaki berusia 58 tahun berada di lorong kanan dan terus melanggar motosikal tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, akibat Kemalangan tersebut penunggang luka di kepala, kaki dan tangan manakala pemboncengnya maut ditempat kejadian dan disahkan oleh pasukan perubatan.
Bagaimanapun, pemandu Hilux katanya tidak mengalami kecederaan.
"Keadaan jalan raya pada masa kejadian kering dan cuaca baik.
"Kes masih dalam siasatan lanjut dan disiasat di bawah seksyen Seksyen (41) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," ujarnya.
Cancel
PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.