Tak sedar polis datang, dua lelaki leka curi kabel dicekup

KUCHING-- Dua lelaki yang sedang "leka" mencuri kabel milik Telekom Malaysia (TM) ditangkap di tepi Jalan Reservoir di sini.

Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, kedua-dua suspek lelaki tempatan berusia 22 dan 38 tahun itu ditangkap sekitar jam 4.30 pagi pada 3 Oktober.

"Kedua-dua suspek ditangkap semasa sedang mencuri kabel milik TM.

"Turut dirampas dua unit pemotong kabel, seunit cutter, seunit gergaji besi, seunit playar, seunit batang besi jack kereta, dua gulung kabel tm yang telah dipotong dan dua buah motosikal untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelasnya lagi, hasil saringan air kencing kedua-dua suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine.

"Hasil soal siasat terhadap kedua-dua suspek, mengaku telah terlibat dengan empat lagi kes curi kabel di sekitar kawasan Kuching sejak bulan Jun 2023. 

"Mereka mengaku telah menjual kabel tersebut di sebuah kedai barang lusuh yang terletak di batu 16, Jalan Kuching/Serian," tambahnya.

Susulan itu kata Ahsmon, pasukan polis telah membuat pemeriksaan di premis tersebut dan penjaga premis tersebut telah ditahan bagi membantu siasatan. 

"Kumpulan suspek ini menyasarkan untuk mencuri kabel TM di kawasan kurang tumpuan di sekitar kawasan Kuching.

"Kedua-dua suspek telah dituduh di Mahkamah Majistret Kuching pada 6 Oktober lalu di bawah seksyen 379 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara boleh sampai tujuh tahun, atau dengan denda, atau dengan kedua-duanya sekali," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan sebarang maklumat daripada masyarakat berkaitan aktiviti kecurian kabel di daerah Kuching dan boleh menyalurkan maklumat ke balai polis berhampiran.
Next Post Previous Post