Sedia beri dana cipta robot, Abang Johari

KUCHING— Sarawak bersedia mengeluarkan dana serta menjalinkan kerjasama antara institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan dan gergasi teknologi China - Huawei untuk mencipta robot.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kerajaan akan meminta Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (Centexs) bekerjasama dengan Huawei untuk menjayakan projek ini.

“Sarawak boleh mengambil inspirasi daripada robot jururawat “Grace the robot” yang membuat penampilan pada Kongres Inovasi dan Teknologi Dunia Ke-27 dan Persidangan Ekonomi Digital Antarabangsa Sarawak Keenam (WCIT|IDECS) 2023, baru-baru ini.

“Mungkin kita boleh gunakan nama berbeza (untuk robot) yang lebih berciri Sarawak. 

"Saya difahamkan ‘Grace the robot’ mempunyai lebih 4,000 motor pada kepalanya sahaja,” katanya berucap pada Majlis Makan Malam Ulang Tahun Kelima Majlis Penyelidikan dan Pembangunan Sarawak (SRDC) malam tadi.

Grace ialah robot yang dibangunkan dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) oleh Hanson Robotics berpangkalan di Hong Kong.

Katanya, robot yang dihasilkan itu boleh digunakan dalam penjagaan kesihatan selain melakukan tugas dan aktiviti lain.
Next Post Previous Post