Sabah bakal miliki tujuh hotel baharu tampung kehadiran pelancong

Gambar Media Sosial

KOTA KINABALU-- Sabah yang popular dengan destinasi pelancongan bakal memiliki tujuh hotel baharu yang menawarkan 2,053 bilik bagi menampung pertumbuhan berterusan dalam ketibaan pelancong negeri yang boleh mencecah 2.2 juta tahun ini.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Hajiji Haji Noor berkata, ini akan menambah 658 hotel yang sedia ada di Sabah, terdiri daripada lima bintang hingga pusat penginapan dengan kapasiti 26,822 bilik.

"Perkembangan ini dijangkakan memberikan impak positif kepada Sabah memandangkan negeri ini terus menjadi destinasi percutian dalam kalangan pelancong domestik dan antarabangsa.

"Malah, kemasukan pelancong ke Sabah terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan pada tahun ini iaitu sejumlah 1.4 juta pelancong antarabangsa dan domestik didaftarkan masuk ke negeri ini dalam tempoh Januari sehingga Julai 2023," katanya pada Majlis Ulang Tahun Shangri-La Tanjung Aru Resort ke-40 di sini pada Isnin.

Dengan angka itu, Hajiji berkata Sabah diyakin dapat mencapai sasaran kedatangan pelancong seramai 2.2 juta tahun ini.

Tambahnya, ia adalah petanda baik, pada ketika ini yang mana kerajaan negeri telah menjana resit pelancongan sekurang-kurangnya bernilai RM2.9 bilion.

"Ini peningkatan sebanyak 99.7 peratus," katanya sambil menambah kadar purata penginapan pelancong di hotel Sabah sepanjang enam bulan lalu adalah pada paras 52 peratus.

Pada masa yang sama beliau dimaklumkan terdapat pada hari tertentu hotel-hotel di negeri ini telah penuh ditempah, khususnya musim cuti atau ketika mempunyai acara diadakan di sini.

Justeru, katanya, kerajaan negeri penuh yakin untuk maju ke hadapan bagi memastikan semua tindakan diambil bagi membolehkan Sabah berada dilandasan tepat untuk melaksanakan pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya.

"Selari dengan aspirasi kita untuk memperkukuhkan kesatuan, kemakmuran dan inklusif.

"Oleh itu, saya mahu anda semua bersama-sama dengan saya serta kerajaan negeri bagi merealisasikan hasrat ini," katanya.

Dalam perkembangan sama Hajiji berkata, kerajaan negeri melalui Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar telah memperuntukan RM10 juta untuk membaiki kemudahan asas pelancongan di kawasan luar bandar bagi menggalakkan lagi pembangunan pelancongan berasaskan komuniti.

Katanya, menjelang 2030 Sabah diharapkan dapat mencapai 80 peratus standard piawaian yang ditetapkan ASEAN dalam sektor berkenaan dalam usaha memperkasakan kehidupan komuniti luar bandar.

Pada majlis itu, beliau memuji Shangri-La Tanjung Aru Resort yang telah berjaya mengecapi pelbagai kejayaan dengan bergerak selari pembangunan Bandaraya Kota Kinabalu
Next Post Previous Post