Sarawak catat 2,192 kes keganasan rumah tangga, ketiga tertinggi

Gambar Hiasan

KUCHING— Sarawak merekodkan 2,192 kes keganasan rumah tangga, ketiga tertinggi di negara ini sejak 2020 sehingga Ogos tahun ini, kata Datuk Sri Nancy Shukri.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berkata, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), Sarawak merupakan negeri ketiga tertinggi selepas Selangor dan Kedah dalam kes keganasan rumah tangga sepanjang tempoh sama.

“Sepanjang tempoh tersebut, Sarawak telah merekodkan sebanyak 2,192 kes keganasan rumah tangga.

“Terdapat peningkatan kes yang tinggi pada tahun 2021 iaitu sebanyak 7,468 kes berbanding pada tahun 2020 yang mencatatkan sebanyak 5,260 kes. 

“Manakala bagi tahun 2022, jumlah kes keganasan rumah tangga masih lagi tinggi walaupun menunjukkan sedikit penurunan kepada 6,540 kes. Bagi tahun ini pula, sehingga Ogos lepas sebanyak 3,640 kes telah dicatatkan,” katanya pada Jumaat.

Ahli Parlimen Santubong itu menambah, kementeriannya juga telah memohon agar isu gangguan seksual mahupun isu keganasan rumah tangga dimasukkan ke dalam skop tugasan ketua masyarakat dan ketua kaum (KMKK) untuk membanteras perkara itu di kawasan masing-masing. 

“Di setiap negeri, kita perlu menulis surat kepada pihak kerajaan negeri kerana KMKK semua di bawah kerajaan negeri. 

“Ini kerana kebiasaannya kalau berlaku sesuatu di dalam kampung seperti keganasan rumah tangga, pergaduhan sesama keluarga atau isu tanah, meraka akan merujuk kepada KMKK maka adalah penting untuk kita memberi panduan kepada KMKK,” ujarnya.
Next Post Previous Post