Pura-pura hantar barang, pinjam tandas sebelum merompak warga emas di Kampung Sindang Baru

KOTA SAMARAHAN-- Pura-pura hantar barang, itulah taktik yang digunakan sekumpulan perompak dalam kejadian melibatkan seorang mangsa, wanita warga emas di Kampung Sindang Baru di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Samarahan DSP Brodie Brangka berkata, polis menerima satu laporan berhubung kejadian itu.

"Semasa mangsa berada di rumah di
Kampung Sindang Baru telah didatangi oleh seorang lelaki yang 
tidak dikenali yang memberitahu untuk menghantar barang minyak wangi. 

"Mangsa menafikan kerana tidak ada membeli apa-apa barang dan selepas itu, lelaki berkenaan meminjam 
tandas dan pengadu pun membenarkan lelaki berkenaan 
masuk ke dalam rumah. 

"Selepas masuk ke dalam rumah, lelaki berkenaan terus mengeluarkan sebilah pisau dan meragut rantai leher milik mangsa dan berlaku pergelutan antara mangsa dan lelaki tersebut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Brodie, lelaki tersebut juga hendak mengambil gelang milik mangsa tetapi tidak sempat dan terus 
melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta berwarna hitam jenis Myvi/Axia bersama rakan sejenayah.

Jelasnya, sebaik sahaja menerima maklumat tersebut, polis telah 
menjalankan siasatan ke atas kejadian ini. 

"Siasatan awal mendapati kejadian berlaku di ruang dapur berhampiran 
tandas rumah mangsa. 

"Semasa kejadian, mangsa hanya 
seorang diri di rumah," katanya sambil menambah rumah mangsa berada berhampiran jalan utama kampung. 

Menurutnya lagi, mangsa merupakan seorang warga emas yang berusia 67 tahun yang tinggal bersama anak perempuan dan dua cucu.

Tegasnya, siasatan sedang dijalankan dan kes disiasat di bawah seksyen 
395/397 Kanun Keseksaan iaitu rompak berkumpul yang mana jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai 20 tahun dan juga boleh dikenakan sebatan. 

"Oleh itu, polis mengingatkan masyarakat supaya berhati-hati dengan taktik merempok tersebut," ujarnya.

tamat
Next Post Previous Post