Pendidikan tertiari percuma untuk anak Sarawak pada 2026 - Abang Johari

SRI AMAN— Institusi pengajian tinggi milik kerajaan Sarawak akan memberikan pendidikan tertiari percuma kepada anak-anak Sarawak mulai 2026, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Premier Sarawak itu berkata, unjuran pendapatan tahunan Sarawak yang terus menunjukkan peningkatan sejak 2020 memberikan keyakinan kepada beliau untuk menetapkan jangkaan itu dimulakan dalam Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) oleh kerajaan negeri.

“Kita sudah memiliki lima buah Institusi Pengajian Tinggi (IPT) iaitu Universiti Swinburne, Universiti Curtin, Universiti Teknologi Sarawak, Kolej Universiti I-Cats dan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (Centexs).

"Kita turut mempunyai dana berdaulat untuk masa depan rakyat dan bakinya akan ditumpukan kepada pendidikan belia dan juga memantapkan ekonomi kita serta membangunkan lagi infrastruktur negeri," katanya.

Abang Johari turut berkata, hasrat untuk menyediakan pendidikan tinggi ini secara percuma adalah untuk memastikan lebih ramai lagi anak jati Sarawak yang berkelayakan dan berkemampuan menggunakan teknologi baharu untuk memacu pembangunan negeri ini.  

Beliau menjelaskan, Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Roland Sagah Wee Inn serta Timbalannya Datuk Dr. Annuar Rapaee sudah diarah untuk membuat kajian terhadap pelaksanaan pendidikan percuma ini. 

Menyentuh mengenai penganjuran Pesta Benak itu yang berlangsung sejak 29 September yang lalu, Abang Johari berkata peningkatan jumlah pengunjung ke acara itu menggambarkan kepesatan perkembangan pelancongan domestik di Sarawak.

Menurutnya pesta ini mampu menarik lebih ramai lagi pengunjung pada masa hadapan sekiranya penganjur dapat mempelbagaikan lagi aktiviti yang dijalankan yang seterusnya dapat menjana pendapatan masyarakat setempa

Terdahulu, Abang Johari berkata Sri Aman kini mempunyai dua pintu masuk iaitu melalui Lebuhraya Pan Borneo manakala satu lagi melalui jalan pesisir dari Samarahan ke Sebuyau terus ke Lingga, Meludam dan terus ke Simanggang.

Katanya, satu lagi laluan adalah melalui Jambatan Batang Lupar 2 yang sedang dalam pembinaan.

"Bermakna Sri Aman, ada dua entry point. Bandar lain tidak ada dua entry point. 

"Maknanya kita buka kawasan. Kita akan tingkatkan lagi bekalan api dan elektrik. 

"Apabila ia siap bermakna ini adalah kawasan pertanian moden yang akan kita bangunkan dan kita telah kenalpasti bahawa kawasan ini boleh mengeluarkan padi."

Menurut Abang Johari, usaha juga sedang dilaksanakan bagi menghasilkan padi yang mampu dituai sebanyak tiga kali setahun.

Katanya, jika usaha tersebut berjaya, ia akan membantu dalam meningkatkan lagi pendapatan Sarawak.

"Saya sudah mencuba di Gedong iaitu di Lubok Punggur. Saya mencuba lima ekar iaitu benih padi daripada Vietnam. 

"Dan ini adalah bulan keempat, padi sudah berbuah dalam masa tiga bulan. Bermakna beras dapat kita keluarkan dalam masa 3 bulan. Minggu depan saya melawat di situ bersama pakar dari Universiti Putra (Malaysia).

"Bermakna kalau tuainya tiga bulan, satu tahun sekurang-kurangnya tiga kali. Kalau tiga kali, bermakna pendapatan tiga kali ganda dan kita dapat mengeluarkan beras spesis baru," ucapnya.

Tegasnya, sektor pertanian di Sarawak harus keluar dari konsep 'subsistence farming' dan beralih kepada konsep komersial dan terkini yang lebih menguntungkan para petani tempatan.

Premier Sarawak kemudiannya berkesempatan menyaksikan perlumbaan perahu dan meninjau pameran agensi kerajaan.

Beliau juga tidak melepaskan peluang beramah mesra dengan warga Sri Aman yang memenuhi sepanjang Tebingan Sungai Sri Aman.

Sejurus selepas majlis tersebut, Premier Sarawak menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Cadangan Pembinaan Dan Penyiapan Jalan Utama Kedua Pakej B2A dalam bandar Sri Aman.

Projek bernilai RM60.9 juta itu akan bermula pembinaannya pada 6 Oktober ini dan dijadual siap pada 5 April 2026 selama 30 bulan.
LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.