RM40 juta subsidi, insentif untuk pesawah padi bukit Sarawak

KUALA LUMPUR— Kerajaan memperuntukkan RM40 juta untuk meneruskan penyaluran pelbagai subsidi dan insentif kepada pesawah padi bukit di Sarawak.

Menteri Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, peruntukan ini disalurkan melalui Skim Baja dan Racun Padi Bukit/Huma (SBRPB) melibatkan kawasan keseluruhan seluas 44,404 hektar.

Beliau berkata, peruntukan ini merupakan sebahagian inisiatif kementerian dalam membantu kerajaan Sarawak mencapai kadar sara diri (SSR) 60 peratus menjelang 2030 berbanding sekarang hanya 34 peratus.

“Kementerian turut memperluas program Sawah Berskala Besar melibatkan IADA Batang Lupar yang mana telah merekodkan peningkatan hasil pendapatan daripada 50 peratus sehingga 100 peratus.

“Kita juga menggalakkan penggunaan benih padi berkualiti dengan membawa masuk benih padi sah daripada Semenanjung selain penggunaan mekanisasi dan automasi dalam penanaman padi,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Mohamad Sabu menjawab soalan Ahli Parlimen Miri (PKR) Chiew Choon Man yang mahu tahu 
keluasan tanah padi sawah dan padi huma di Sarawak dan perancangan Kementerian dalam membantu Kerajaan Sarawak untuk meningkatkan tahap sara diri beras (SSL) di Sarawak sehingga seratus peratus.

“Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, pada tahun 2022, keluasan kawasan penanaman padi di Sarawak adalah dianggarkan berjumlah 78,000 hektar. 

“Keluasan tersebut adalah termasuk 42,000 hektar kawasan padi sawah dan 36,000 hektar kawasan padi bukit. Anggaran pengeluaran beras adalah berjumlah 85,700 tan metrik yang hanya dapat memenuhi kira-kira 34% daripada keperluan beras Sarawak,” katanya.

Sehubungan itu, Mohamad mahu kerjasama agensi pelaksana di peringkat Persekutuan dan Sarawak diteruskan untuk membuat penilaian terperinci bagi memastikan inisiatif yang dilaksanakan kekal relevan dan memberikan pulangan kepada pesawah di negeri ini.

Gambar Kredit Kementerian Permodenan Pertanian Dan Pembangunan Wilayah
Next Post Previous Post