Enam PATI Indonesia cuba masuk guna jalan tikus ditahan, diusir pulang

LUNDU-- Hasrat enam warganegara Indonesia masuk ke negeri ini melalui jalan tikus di kawasan sempadan negara di Biawak berjaya digagalkan tengah hari tadi.

Jurucakap Sel Perhubungan Raya Markas 1 Divisyen dalam kenyataan media hari ini berkata, dalam kejadian 12.15 tengah hari itu, anggota yang sedang melaksanakan rondaan di
sekitar sektor Biawak telah melihat lima lelaki dan seorang wanita dalam keadaan mencurigakan sedang berehat di sebuah pondok yang berada 100 meter dari sempadan Malaysia-Indonesia.

"Hasil pemeriksaan mendapati kesemua mereka adalah pendatang asing tanpa izin (PATI) warganegara Indonesia yang tidak mempunyai passport dan pas kerja di Malaysia yang sah. 

"Hasil temu siasat dan pemeriksaan, mereka sedang dalam perjalanan ingin memasuki negara Malaysia untuk bekerja dari laluan tikus sempadan Malaysia/Indonesia," katanya.

Tambahnya, pemeriksaan lanjut mendapati tiada barang terlarang dan berbahaya dijumpai.

"Hanya wang tunai Indonesia berjumlah Rp 2,433,000.00, enam telefon bimbit berjumlah
RM5,300 dan sebanyak enam beg sandang berjumlah RM 600 yang menjadikan keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM6,530.

"Kesemua barangan tersebut diserahkan kepada pihak polis Ibu Pejabat Daerah Lundu untuk siasatan lanjut," katanya.

Jelasnya lagi enam PATI tersebut telah dibawa ke sempadan Pos Aruk (TNI-AD) oleh pasukan keselamatan untuk dibuat pengusiran (500 Meter dari sempadan Malaysia/Indonesia).

Sehubungan itu, tegasnya Tentera Darat terus kekal siaga dan komited mengawal keselamatan dan memastikan kedaulatan negara terus terpelihara terutama dalam memastikan tiada sebarang pencerobohan PATI.

"Selain itu, mengekang kegiatan penyeludupan mahupun sebarang bentuk jenayah rentas sempadan berlaku," ujarnya.


Next Post Previous Post