MyAirline Gantung Operasi: Dr Kelvin bawa isu pengguna terjejas kepada kementerian berkaitan

KUCHING-- Ahli Parlimen Bandar Kuching Dr Kelvin Yii akan membawa isu pengguna yang terjejas akibat penggantungan operasi mengejut syarikat tambang murah, MYAirline Sdn Bhd hari ini kepada menteri bertanggungjawab.

Beliau memberitahu, ini bagi mencari jalan penyelesaian yang dihadapi ramai pengguna penerbangan tersebut yang terjejas hari ini.

"Saya akan berhubung dengan kedua-dua Menteri Pengangkutan dan juga Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup untuk mencari jalan penyelesaian dan langkah ke hadapan bagi isu-isu yang dihadapi oleh penumpang selepas pengumuman mengejut oleh MyAirlines," katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Dr Kelvin berkata, pengumuman mengejut syarikat penerbangan tersebut sangat tidak beretika dan tidak bertanggungjawab kerana ia mengganggu rancangan perjalanan penumpang di seluruh negara termasuk di Kuching.

"Pagi tadi, kita lihat ramai penumpang yang sudah bersedia untuk terbang bersesak-sesak di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (KIA) kerana penggantungan operasi MyAirline yang diumumkan secara mengejut ini.

"Ini telah menyebabkan ramai yang mengalami kesulitan dan juga kerugian dan sama sekali tidak boleh diterima," tegasnya. 

Sehubungan itu, beliau meminta Kementerian yang berkaitan termasuk agensi seperti Mavcom harus memastikan syarikat penerbangan tersebut bertanggungjawab atas masalah berkenaan.

Pada masa sama katanya, tindakan mesti diambil untuk melindungi hak pengguna dengan lebih baik.

"Saya menggesa MyAirlines untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan untuk menangani sebahagian besar kebimbangan yang mungkin dihadapi oleh pengguna.

"Selain itu, MyAirline juga harus mencari kaedah yang komprehensif untuk memastikan hak pengguna agar mereka ini menerima pampasan penuh kerana masalah yang dihadapi kerana ini bukan kesalahan daripada pelanggan," ujarnya.

Dalam pada itu, katanya, syarikat penerbangan juga mesti mengumumkan secepat mungkin rancangan masa depan untuk memastikan pengguna boleh membuat pengaturan perjalanan yang diperlukan.

"Lebih penting membolehkan pelanggan mendapat pampasan yang diperlukan," tegasnya.

Gambar Credit FB Kelvin Yii Lee Wuen
Next Post Previous Post