Premier Sarawak gesa KPM jadikan SK Maludam penanda aras

MALUDAM—Kerajaan pusat digesa agar membangunkan sekolah rendah yang dilengkapi dengan infrastruktur lengkap dan berkelas tinggi di Sarawak mengikut model yang dibangunkan oleh kerajaan negeri.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan ia penting bagi membolehkan pelajar di negeri ini mendapat pendidikan yang terbaik.

Selain itu katanya, penyediaan infrastruktur pendidikan yang baik akan memberi motivasi kepada para guru terutamanya yang berkhidmat di kawasan luar bandar.

"Jadi saya minta kerajaan pusat, standardnya (sekolah) sekurang-kurangnya standard kedak tok. 

"Tempat gurunya, kuartersnya, tempat anak kita belajar. RM34 juta sahaja. 

"Sebab ya saya meminta kepada Perdana Menteri, beri autonomi kepada Sarawak. Kita melaksanakan projek dan pembangunan pendidikan kita."

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Bangunan Baru Sekolah Kebangsaan (SK) Maludam pada Isnin.

Sekolah yang mula dibina pada tahun 2019 itu dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak.

Ia mampu menempatkan lebih 300 pelajar dan turut dilengkapi dengan asrama dan pelbagai prasarana lain.

Selain SK Maludam, sekolah lain yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak adalah SK Ulu Segan Bintulu, SK Merpati Jepang dan SK Pulo di Kuching, SK Penasu Daro, SK Sageng dan SMK Gedong di Simunjan.

Berucap lanjut, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Zohari mensasarkan kerajaan Sarawak akan mula menyediakan pendidikan percuma kepada anak-anak di negeri ini bermula 2026.

Katanya, inisiatif tersebut akan dilaksanakan di lima institusi pengajian tinggi milik Sarawak iaitu Universiti Curtin, Universiti Swinburne, Universiti Teknologi Sarawak, I-Cats University College dan Centexts.

"Kita hendak memberikan pendidikan percuma di peringkat universiti yang dipunyai oleh Sarawak.

"Insyaallah saya fikir tahun 2026 boleh," katanya lagi.

Bagi meningkatkan penguasaan pelajar dalam pendidikan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Premier Sarawak berkata kerajaan negeri akan menempatkan sebuah makmal sains di setiap 45 daerah di Sarawak untuk digunakan semua sekolah dalam daerah berkenaan.


Sumber UKAS
Next Post Previous Post