Pensijilan halal perkasa pasaran Minyak Sawit Mampan di peringkat global, Fadillah

KUALA LUMPUR— Pensijilan halal mampu menjadi nilai tambah terhadap Minyak Sawit Mampan Malaysia di peringkat global, kata Datuk Seri Fadillah Yusof.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata, nilai eksport halal Malaysia mencecah RM59.4 bilion pada 2022 dengan 4.7 peratus atau RM2.8 bilion disumbangkan produk berasaskan sawit.

Beliau berkata, manakala sektor ramuan halal berasaskan sawit pula telah meningkat 73.1 peratus kepada RM23.35 billion pada tahun 2022.

“Pasaran Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) dengan nilai tambah pengiktirafan dan penerimaan pensijilan halal, berpotensi besar diperluaskan ke global terutama di negara Islam.

“Terdapat 1.8 bilion penduduk Islam dengan pasaran halal yang dijangka bernilai lebih USD 3 trilion. Pensijilan halal kita diterima di lebih 47 negara dengan 84 badan pensijilan antarabangsa,” katanya.

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata demikian selepas Majlis Menandantangani Memorandum
Persefahaman (Mou) Antara Majlis Pensijilan Minyak Sawit Malaysia (MPOCC) dan Halal Development Corporation (HDC) hari ini.

Katanya, MoU yang termeterai adalah langkah kerjasama kedua-dua agensi mempromosi silang, menukar maklumat sekali gus meneroka peluang dan inisiatif baharu berkaitan kemampanan dalam industri minyak sawit dan ekosistem halal.

“Ia adalah langkah tambah nilai bagi mempromosi, mendapatkan pengiktirafan dan penerimaan pensijilan MSPO ke pasaran global sejajar pasaran Halal Malaysia.

“Ia langkah besar dalam mempromosi kemampanan dan meningkatkan daya saing dan daya tarikan kepada jenama
Malaysia iaitu MSPO dan Ekosistem Halal untuk negara pengimport.

“Selain itu meluaskan penjenamaan MSPO dan usaha-usaha kementerian dalam meneraju industri sawit mampan terutamanya di pasaran Eropah dan negara pengimport disamping perkukuh hubungan antara agensi kerajaan dan luar negara,” katanya.
Next Post Previous Post