Kenderaan 4WD keluar simpang mengejut, penumpang maut, pemandu parah dilanggar treler

TATAU-- Seorang maut seorang lagi parah dalam nahas jalan raya di Kilometer 6 Jalan Tatau-Bintulu melibatkan sebuah lori treler dengan kenderaan pacuan empat roda (4WD) pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tatau, DSP Jame Reis berkata, dalam kejadian 11 pagi itu mangsa yang maut merupakan penumpang lelaki 4WD, berusia 32 tahun yang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Manakala pemandu 4WD, lelaki berumur 29 Tahun mengalami cedera parah," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Jame memberitahu siasatan awal di tempat kejadian mendapati pemandu lori treler, 40, datang dari arah Bintulu menuju ke Tatau dan apabila tiba di Kilometer Jalan Tatau-Bintulu, telah berlanggar dengan 4WD yang tiba-tiba keluar dari simpang sebelah kiri.

"Pemandu lori treler tidak mengalami sebarang apa-apa kecederaan.

"Mayat mangsa yang telah meninggal dunia telah dibawa dan dihantar ke kamar mayat Hospital Bintulu untuk tujuan bedah siasat," jelasnya.

Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

"Berhubung kes kemalangan maut orang ramai dinasihatkan tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian kemalangan yang berlaku. 

"Jika mempunyai sebarang maklumat berhubung kes ini, diminta berhubung dengan Pegawai Penyiasat kes Inspektor Edwin Langit Jaul di talian 016-8563017," ujarnya.
Next Post Previous Post