Kes Rusuhan: Polis bagi amaran jangan sertai perhimpunan

KUCHING— Polis akan mengambil tindakan terhadap penganjur dan peserta yang terlibat dalam perhimpunan haram bagi membantah kes rusuhan di Kompleks Mahkamah Sibu pada 17 Oktober ini

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Datuk Mancha Ata menegaskan polis tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

“Polis mengesan terdapat pihak tertentu merancang untuk mengadakan perhimpunan di Kompleks Mahkamah Sibu bagi menunjukkan sokongan mereka kepada terlibat dalam kes itu.

“Setakat 8 Oktober lalu, polis menerima enam laporan berhubung rancangan untuk melakukan rusuhan dan perhimpunan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini pagi ini.

Beliau menambah, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Orang ramai diingatkan supaya tidak mengambil bahagian dalam perhimpunan ini bagi mengelakkan kekacauan awam.

“Polis juga akan bertindak terhadap sesiapa sahaja yang enggan mengikut arahan mana-mana penguatkuasa undang-undang,” katanya.

Mancha menambah, polis bersedia dari segi pegawai dan aset yang mencukupi bagi menghadapi kemungkinan perhimpunan itu.

“Polis turut mengingatkan orang ramai supaya tidak menyebarkan sebarang maklumat palsu berhubung kes itu,” katanya.
Next Post Previous Post