Penipuan pelaburan Yomaex: Jurutera untung RM4,524 tapi rugi hampir RM200,000

KUCHING-- Seorang lagi lelaki menjadi mangsa penipuan pelaburan dalam talian melalui aplikasi 'Yomaex' tampil membuat laporan setelah mengalami kerugian hampir RM200,000.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, mangsa berusia 30-an merupakan jurutera sebuah syarikat di sini membuat laporan polis semalam.
 
"Menurut mangsa, beliau telah berkenalan dengan seorang perempuan dikenali sebagai ‘Lucky’ melalui facebook pada Mei 2023, sebelum suspek perkenalkan pelaburan cryptocurrency kepada beliau dan nombor telefon mangsa dimasukkan ke dalam satu group Whatsapp.

"Selepas itu, mangsa telah berurusan dengan seorang lelaki dikenali sebagai Mr. Lim yang dipercayai Pengurus Yomaex melalui Whatsapp.

"Suspek kemudian mengatakan pelaburan tersebut adalah pelaburan
cryptocurrency yang berpandukan pasaran di Amerika Syarikat," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, setelah yakin dengan pelaburan tersebut, mangsa telah melakukan sembilan transaksi pemindahan wang secara online keseluruhan berjumlah lebih kurang RM182,000 ke sembilan akaun bank yang berbeza seperti yang diberikan suspek untuk tujuan pelaburan pada pertengahan Ogos 2023 sehingga penghujung September 2023.

Jelas Azman lagi, menurut mangsa semua urusan jual beli cryptocurrency dibuat oleh beliau sendiri dan sekiranya terdapat keuntungan, hasil akan dimasukkan ke dalam akaun mangsa di platform ‘Yomaex’. 

"Mangsa pernah menerima wang pulangan berjumlah RM4,524.00 sahaja sepanjang beliau menyertai pelaburan tersebut.

"Pada awal Oktober 2023, mangsa telah menghubungi suspek kerana beliau ingin mengeluarkan wang berjumlah USD375,763 dari akaun ‘Yomaex’ miliknya. 

"Walau bagaimanapun, mangsa diminta oleh suspek untuk membuat bayaran tambahan iaitu 5 peratus daripada jumlah wang tersebut sekiranya mangsa ingin mengeluarkan kesemua wang dari akaun ‘yomaex’ beliau," dedahnya.

Ekoran itu katanya, mangsa berasa telah ditipu dan tampil membuat laporan polis untuk siasatan selanjutnya. nilai kerugian yang dialami mangsa berjumlah
lebih kurang RM182,000.

Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dan dengan cara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan yang membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari sepuluh tahun, dan dengan sebat, dan bolehlah juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Next Post Previous Post