Tapak jelapang padi di Sarawak dikenal pasti

Zahid Hamidi semasa Program Santuni Rakyat diadakan di SK Haji Bujang di sini, hari ini.

SEBUYAU— Kerajaan mengenal pasti beberapa kawasan berpotensi di Sarawak untuk dijadikan jelapang padi, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata, perkara itu pada dasarnya telah dipersetujui oleh Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg, namun pelaksanaannya memerlukan sedikit masa.

“Tapak itu sudah dikenal pasti tetapi belum dimuktamadkan kerana kita mahukan kawasan yang agak luas dan tidak terpencil.

“Projek ini kelak akan dikoordinasikan dengan Kementerian Pemodenan Pertanian Sarawak, selain perlu mendapatkan persetujuan daripada pemilik tanah terutama yang membabitkan tanah Hak Adat Anak Negeri (NCR).

“Jenis padi yang akan ditanam adalah mengikut kesesuaian tanah di Sarawak. Saya rasa kos di sini agak tinggi, tetapi itu perkara berbeza, yang penting perlu ada kemampuan sara diri untuk bekalan beras,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa Program Santuni Rakyat diadakan di SK Haji Bujang di sini, hari ini.

Zahid berkata projek itu akan diuruskan oleh Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (FELCRA) dan dicontohi mengikut rancangan penanaman padi oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda.

Katanya, FELCRA sudah mengenal pasti kawasan seluas 50,000 hektar tanah di Sabah dan Sarawak untuk projek penanaman padi tersebut.

Pada Jumaat lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pending, Violet Yong meminta penjelasan kerajaan Sarawak berhubung projek jelapang padi di Batang Lupar yang dilaksanakan pada 2013.

Beliau berkata, terdapat harapan tinggi untuk projek itu yang dikatakan mampu menyumbang kepada pengeluaran bekalan beras pertama di Sarawak.

“Namun selepas 10 tahun, saya tidak mendengar apa-apa mengenainya selepas pengumumannya.

"Projek berkenaan dilaksanakan bagi tujuan mengurangkan kebergantugan negara dan negeri terhadap beras import.

“Memandangkan Sarawak kini banyak mengimport beras, saya rasa orang ramai perlu tahu apa yang berlaku kepada projek ini," katanya dipetik The Borneo Post.

Timbalan Ketua Menteri ketika itu Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang dilaporkan berkata Projek Jelapang Padi seluas 5,100 hektar di Batang Lupar, Sri Aman, apabila siap akan menyumbang kepada pengeluaran bekalan beras pertama di Sarawak.

Projek tersebut yang pertama seumpamanya di Sarawak melibatkan peserta dari Stumbin, Tanjung Bijat, Entulang, Lingga dan Banting.
Next Post Previous Post