Pelajar tingkatan satu ditumbuk, dipijak senior sampai lembik

Seorang pelajar tingkatan 1 tidak bermaya selepas ditumbuk dan dipijak senior. Gambar tangkap layar Tiktok

KUALA NERUS—Seorang pelajar lelaki tingkatan 1 didakwa ditumbuk sehingga sesak nafas selain dipijak hingga pengsan oleh pelajar senior di sebuah sekolah di Seberang Takir, Kuala Terengganu di sini pada Khamis.

Menerusi video tular di TikTok, mangsa didakwa dipukul tiga pelajar tingkatan dua dihadapan beberapa pelajar lain.

Memetik laporan Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT), Abdul Muie Ngah berkata pihaknya dimaklumkan oleh pengurusan sekolah kejadian berlaku selepas waktu persekolahan.

“Hasil daripada laporan yang diberikan pihak pengurusan sekolah, kejadian berlaku dalam kawasan sekolah ketika pelajar mahu pulang ke rumah.

“Kita masih siasat punca hingga berlaku pergaduhan itu dan laporan awal yang saya terima hanya membabitkan pelajar tingkatan dua dan satu yang juga mangsa,” katanya.

Ujarnya, guru sekolah terbabit mengambil langkah segera menghantar pelajar ke sebuah klinik bagi mendapatkan rawatan.

Abdul Muie berkata, pihaknya dimaklumkan pengetua sekolah terbabit sudah pergi ke rumah pelajar terbabit dan masih menunggu laporan hasil daripada perjumpaan itu.

Beliau berkata, pihaknya juga akan memberikan kerjasama penuh kepada pihak berkuasa sekiranya keluarga pelajar terbabit membuat laporan polis.
Next Post Previous Post