Sarawak sasar pendapatan isi rumah RM6,388

MUKAH— Kerajaan Sarawak mensasarkan pendapatan isi rumah rakyat di negeri ini dapat mencapai tahap pendapatan isi rumah median nasional, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Premier Sarawak berkata, perkembangan ekonomi negeri ini yang amat memberangsangkan iaitu kadar 6.5 peratus pada 2022 menunjukkan rakyat Sarawak mempunyai peluang untuk meningkatkan pendapatan.  

"Baru-baru ini Bank Dunia telah mengiktiraf Sarawak sebagai sebuah negeri berpendapatan tinggi dengan Pendapatan Negara Kasar (GNI) per kapita sebanyak RM61,442 atau USD13,205.

"Namun, kita belum boleh bergembira sepenuhnya dengan pencapaian ini kerana pendapatan isi rumah rakyat pada tahap RM4,978 pada 2022, masih belum sampai ke tahap pada peringkat nasional. 

"Saya amat berharap dengan perkembangan ekonomi negeri ini yang amat memberangsangkan pada 2022, rakyat kita mempunyai peluang untuk meningkatkan pendapatan mereka sekali gus memperbaiki kedudukan pendapatan isi rumah negeri ini berbanding tahap di peringkat nasional pada RM6,388 (median household income),” katanya, menurut Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS).

Beliau berkata demikian semasa Majlis Perhimpunan sempena Sambutan Perayaan Hari Kebangsaan Peringkat Sarawak 2023 di sini, pada Khamis.

Abang Johari menambah, keutuhan dan kestabilan politik di bawah pentadbiran Gabungan Parti Sarawak (GPS) telah memberi ruang dalam merangka dan menentu hala tuju yang jelas dari sudut ekonomi negeri ini.

Ujarnya, atas tujuan sama, kerajaan Sarawak telah mewujudkan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS) 2030 yang menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi Sarawak.

"Sejak 2017, kerajaan Negeri telah melaburkan agak banyak dana dari segi pembangunan digital, infrastruktur di bandar dan luar 
bandar, sumber manusia dan pendidikan, penjanaan tenaga yang boleh diperbaharui, penyertaan dalam sektor minyak dan gas di samping meneroka bidang-bidang baharu khususnya ekonomi hijau, ekonomi hidrogen, perniagaan karbon serta penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS). 

"Usaha berterusan juga dilakukan untuk menarik pelaburan dari luar negara dalam sektor industri yang berasaskan tenaga secara intensif dan penghiliran industri minyak dan gas seperti di Samalaju dan Tanjung Kidurong, Bintulu," ujarnya.

Pada masa yang sama beliau memberi jaminan sebagai Premier Sarawak dan menerusi sokongan barisan Kabinet Negeri akan melakukan yang terbaik untuk rakyat dan negeri ini.

"Kami sentiasa terbuka dan menerima kritikan dan yang penting ianya adalah kritikan yang membina," katanya.

Gambar UKAS
Next Post Previous Post