KPDN Sarawak rampas 900 liter diesel subsidi

KUCHING— Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Sarawak hari ini berjaya merampas 900 liter minyak diesel bersubsidi, sebuah van, tangki dan pam elektrik engan anggaran nilai keseluruhan berjumlah RM12,535.

Pengarah KPDN Sarawak, Matthew Dominic Barin berkata, rampasan tersebut dilakukan menerusi Ops Tiris yang dilaksanakan hasil risikan dan pemeriksaan pegawai penguatkuasa di stesen-stesen minyak sekitar Kuching.

“Semasa pemeriksaan, kita menahan seorang warga tempatan di lokasi kejadian. Kes disiasat di bawah Seksyen 20 (1), Akta Kawalan Bekalan 1961, menyimpan barang kawalan di tempat yang tidak dilesenkan oleh pengawal bekalan. 

“Turut disita sebuah van, tangki plastik segi empat berkapasiti 1,000 liter, pam elektrik dan minyak diesel kira-kira 900 liter dengan anggaran nilai RM1,935,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Matthew Dominic berkata, operasi dilakukan oleh empat pegawai penguatkuasa. 

Beliau berkata, sejak 1 Januari sehingga hari ini, KPDN Sarawak telah menghasilkan sebanyak 167 kes dibawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan nilai rampasan sebanyak RM 10,069,143.27 dan nilai kompaun sebanyak RM 574,500.00.

“Pegawai penguat kuasa KPDN Sarawak telah menjalankan 1,505 pemeriksaan ke atas stesen minyak dan pemborong minyak diesel di seluruh negeri Sarawak sejak 1 Mac 2023 di bawah Ops Tiris. 

Pemeriksaan dijalankan bagi memastikan peniaga yang terlibat mematuhi Akta Bekalan 1961 serta peraturan dibawahnya.

Sabit kesalahan, pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi dua juta ringgit bagi kesalahan pertama dan denda tidak melebihi lima juta bagi kesalahan kedua.

Jika orang itu bukan satu pertubuhan perbadanan, didenda tidak melebihi satu juta ringgit bagi kesalahan pertama atau penjara tidak melebihi tempoh selama tiga tahun atau kedua duanya dan denda tidak melebihi tiga juta bagi kesalahan kedua atau penjara tidak
melebihi tempoh selama lima tahun atau kedua-duanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung aktiviti
penyelewengan barang kawalan dan bersubsidi boleh menyalurkan aduan
yang lengkap kepada pihak Kementerian melalui saluran berikut:
i. WhatsApp 019-279 4317 / 019-848 8000
ii. Portal e-Aduan KPDN iaitu http://e.aduan.kpdn.gov.my
iii. Call Centre 1-800-886-800
iv. E-mel (e-aduan@kpdn.gov.my)
v. Aplikasi Telefon Pintar Ez ADU KPDN
vi. Bilik Gerakan Penguatkuasaan 03-8882 6088 / 6245
Next Post Previous Post