Sarawak perkenal mata wang sendiri?

KUALA LUMPUR—Pengenalan mata wang Sarawak antara langkah boleh dipertimbangkan sekiranya ekonomi negara terus dalam keadaan tidak menentu, kata Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu berkata, langkah memperkenal mata wang sendiri ini wajar sekiranya ekonomi Sarawak lebih baik berbanding ekonomi negara yang tidak memberangsangkan.

"Jika ekonomi Sarawak baik tetapi ekonomi negara tidak begitu baik, mungkin Sarawak akan memperkenalkan mata wang kita sendiri.

"Jika Sarawak lebih baik daripada yang lain, kenapa tidak (perkenal mata wang kita sendiri)?

"Inilah yang saya cuba tekankan," katanya seperti dilaporkan FMT yang dipetik Berita Harian.

Nanta yang juga Setiausaha Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) berkata demikian melalui podcast bertajuk 'Dari Malaya ke Malaysia: 60 tahun' pada Jumaat.

Ahli Parlimen Kapit itu bagaimanapun tidak menjelaskan mengenai undang-undang mana Sarawak akan memperoleh kuasa untuk memperkenalkan mata wangnya sendiri.

“Namun saya berharap tiada pihak pihak yang akan menggelar saya sebagai pengkhianat susulan langkah untuk memperkenalkan mata wang sendiri untuk Sarawak.

"Tetapi saya bercakap dengan serius. Jika kita begitu baik dalam membangunkan ekonomi kita, (maka) secara pengiraan, ekonomi kita sepatutnya kukuh," katanya yang juga Menteri Kerja Raya.

Mengikut Perlembagaan Persekutuan, hanya Kerajaan Persekutuan mempunyai kuasa ke atas mata wang.

Untuk rekod, Bank Negara Malaysia (BNM) diberi kuasa oleh Akta Bank Negara Malaysia sebagai pihak berkuasa tunggal untuk mengeluarkan mata wang di negara ini.

Undang-undang mentakrifkan unit mata wang Malaysia sebagai ringgit.

Pada Julai lalu, terdapat laporan mengkategorikan Sarawak sebagai negeri berpendapatan tinggi, demikian menurut ahli ekonomi Bank Dunia, Apurva Sanghi.

Apurva dipetik sebagai berkata, pendapatan negara kasar (PNK) Sarawak melepasi ambang pendapatan tinggi sebanyak AS$13,205 (RM61,500), berdasarkan pertukaran data Bank Dunia yang diperoleh daripada Jabatan Perangkaan Negara.
Next Post Previous Post