Putrajaya luluskan 1,000 AP import kenderaan kuasa elektrik kepada Sarawak

Premier Sarawak ketika ditemui media selepas Majlis Penyediaan Gas Pertama Kemudahan Penjualan Gas Tambahan Bintulu (B-A-G-S-F) 2. Gambar ihsan UKAS

BINTULU — Putrajaya bersetuju memberikan Permit Diluluskan (AP) kepada Sarawak bagi mengimport 1,000 unit kenderaan berkuasa elektrik dan hidrogen, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Premier Sarawak berkata, insentif itu dipersetujui oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mendengar taklimat bersama Kabinet Persekutuan yang disampaikan oleh beliau di Kuching dua hari lalu, lapor Malay Mail.

“Kerajaan turut bersetuju mengecualikan cukai ke atas kenderaan import. Ini adalah insentif pertama yang kita terima daripada kerajaan Persekutuan,” katanya ketika merasmikan Kemudahan Gas Tambahan Bintulu (BAGSF-2) kepada loji metanol baru Petchem Sdn Bhd di Bintulu, di Tanjung Kidurong hari ini.

Terdahulu Abang Johari berkata, beliau telah meminta Petchem Sdn Bhd mengkaji semula keputusannya untuk membina loji metanol kedua, dan sebaliknya beralih kepada penubuhan loji ammonia biru di Bintulu.

Beliau berkata terdapat pasaran untuk ammonia biru, terutamanya di Eropah, Timur Jauh dan negara ASEAN.

“Bahan api ammonia biru dilihat sebagai salah satu industri yang berpotensi memacu industri petrokimia di Sarawak dan kita berpotensi menjadi hab utama pengeluar dan pengeksport di rantau Asia Tenggara.

“Kerajaan Sarawak mengambil peranan aktif dalam membangunkan keseluruhan kitaran projek ammonia biru di negeri ini.

“Kita akan melancarkan satu lagi projek di bawah Sarawak Petchem iaitu Ammonia, akan diletakan disebelah Methanol.

“Dan ini adalah lebih kurang pelaburan 1 billion dolar AS, lebih kurang 4 Billion Ringgit Malaysia. Ammonia ini pastinya akan menjadi bahan untuk menghasilkan tenaga di samping industri hiliran lain berasaskan gas,” kata Abang Johari.

Beliau menambah, kerajaan negeri sedang giat menjalankan penyelidikan serta kerjasama dalam menghasilkan ammonia biru.

Tambah beliau, bahan api itu juga berpotensi menjadi bahan ganti bahan api berasaskan arang batu.

“Kita akan membangunkan tenaga menggunakan gas terbaik selain hidrogen. Kajian hidro kita adalah lebih kurang 20,000 MegaWatt (MW).

“Selain itu perancangan baru membangunkan empangan berlata (cascading dam) yang menggunakan sungai untuk menjana tenaga,” katanya.
Next Post Previous Post