PRK DUN Jepak: SPR bermesyuarat 25 September

Asfia (kiri) semasa sidang media di Kompleks DUN Sarawak, hari ini.

KUCHING— Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mempunyai tempoh 60 hari untuk menentukan tarikh Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jepak.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Tan Sri Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, selaras dengan Artikel 21(5) Perlembagaan Negeri Sarawak beliau telah mengemukakan notis bertarikh 19 September 2023 kepada Pengerusi SPR Tan Sri Ghani Salleh pagi tadi untuk memaklumkan terdapat satu kekosongan luar jangka kerusi DUN Jepak.

Beliau berkata, tempoh DUN Sarawak yang ke-19 akan tamat pada 14 Februari 2027 dan seterusnya Dewan akan terbubar secara automatik pada tarikh tersebut.

“Di bawah Artikel 21(5) Perlembagaan Negeri Sarawak ini, PRK perlu diadakan memandangkan kekosongan luar jangkaan itu berlaku melebihi tempoh dua tahun sebelum pembubaran Dewan secara automatik

“Justeru, kekosongan luar jangka kerusi DUN Jepak ini hendaklah diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh penerimaan notis kekosongan,” katanya pada sidang media di Kompleks DUN Sarawak, hari ini.

Dalam pada itu Asfia berkata kelewatan pengumuman kekosongan luar jangka kerusi DUN Jepak kerana mahu menghormati Allahyarham Talib.

Talib, 72, menghembuskan nafas terakhir kira-kira 5.50 petang pada 15 September lalu ekoran komplikasi buah pinggang.

Beliau adalah penyandang DUN Jepak di bawah Parlimen Bintulu selama enam penggal sejak 1996.

Pada 2009, beliau dilantik sebagai Menteri Muda Pelancongan dan Warisan Sarawak dan pernah menyandang jawatan menteri di Jabatan Ketua Menteri (Integriti dan Ombudsman) Sarawak.

Sementara itu, Setiausaha SPR Dato’ Indera Ikmalrudin Ishak berkata, pihaknya SPR akan mengadakan satu Mesyuarat Khas Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN N.67 Jepak, pada 25 September 2023 (Isnin). 

“Mesyuarat Khas tersebut akan dipengerusikan oleh Tan Sri Abdul Ghani Salleh di mana tarikh-tarikh penting PRK seperti tarikh Writ Pilihan Raya, Hari Penamaan Calon, Hari Pengundian, Daftar 
Pemilih yang akan digunakan dan lain-lain persiapan bagi melaksanakan pilihan raya tersebut akan dibincangkan,” katanya dalam kenyataan.
Next Post Previous Post