Kes rusuhan di Pejabat Daerah Kanowit, PDRM buru saspek - Pesuruhjaya Polis Sarawak

KUCHING -- Polis kini giat memburu suspek-suspek yang terlibat dalam insiden rusuhan yang berlaku di belakang Pejabat Daerah Kanowit petang Selasa.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri mengesahkan menerima satu laporan berhubung insiden tersebut pada hari yang sama.

"Polis mengesan satu kejadian rusuhan yang tular di media sosial yang berlaku pada 12 September 2023 jam lebih kurang 1.30 Petang, di kawasan parkir kereta di bahagian Belakang Pejabat Daerah Kanowit. 

"Kejadian tersebut telah menyebabkan dua orang lelaki mengalami kecederaan dan kerosakan kenderaan milik mereka," katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Azman, kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan. 

Tambahnya, jika disabitkan kesalahan dibawah seksyen 148 kanun Keseksaan boleh dihukum penjara selama 5 tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.

Susulan itu, tegasnya, polis sedang giat mengesan suspek-suspek yang terlibat di dalam kes ini. 

"Punca kejadian ini masih dalam siasatan.

"Justeru, orang awam dinasihatkan supaya tidak mengambil tindakan melulu dengan melanggar undang-undang sehingga boleh disabitkan kesalahan.

"Selain itu, pihak polis menyeru agar masyarakat memberi kerjasama dan menyalurkan sebarang maklumat kejadian ini kepada KBSJD IPD Kanowit (ASP Mohd Faizal Nawi) di talian 016-8657432 Atau IPD Kanowit di Talian 084-752222," ujarnya.
Next Post Previous Post