Kemalangan tragis di Serian, isteri maut manakala suami parah

SERIAN-- Kemalangan tragis melibatkan motosikal dan kereta yang berlaku di Kilometer 63 Jalan Kuching-Sri Aman mengorbankan seorang wanita yang menaiki motosikal bersama suaminya.

Ketua Polis Daerah Serian DSP Aswandy Anis berkata, dalam kemalangan yang dipercayai berlaku pada jam 6.45 pagi tadi, pasangan suami isteri tersebut mengalami cedera parah akibat kemalangan tersebut.

"Siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang oleh sepasang suami isteri yang berusia 72 dan 58 tahun dikatakan secara tiba-tiba menukar lorong dari kiri ke kanan. 

"Akibat jarak yang dekat motosikal tersebut dilanggar oleh sebuah kereta yang dipandu lelaki berusia 31 tahun. 

"Akibat perlanggaran tersebut penunggang motorsikal telah mengalami cedera di kepala dan parah di tangan. 

"Manakala pembonceng (isteri) telah mengalami kecederaan parah di tengkuk serta tangan dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan dari Hospital Serian," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, mangsa yang cedera kemudian dibawa ke Hospital Serian.

Manakala mangsa yang maut katanya juga dibawa ke Hospital Serian untuk bedah siasat.

Sementara itu, beliau memberitahu, pemandu kereta tidak mengalami apa-apa kecederaan. 

Tegasnya, kes dalam siasatan dan disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Next Post Previous Post