Baiki Jalan Beluru, bukan ‘main tampal’ dan kambus

Sebahagian Jalan Beluru yang hanya ditampal dan dikambus semula.

BELURU— Masalah kerosakan Jalan Beluru tidak akan selesai jika pihak berwajib hanya membuat kerja menampal.

Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr Penguang Manggil berkata, jalan itu adalah nadi kehidupan penduduk Bakong, Ulu Tinjar dan Ulu Baram.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi memberikan contoh masalah kerosakan teruk berhampiran Rumah Morgan di Sungai Nipa, di Beluru yang sentiasa berlubang seolah-olah tiada penghujungnya. 

“Jalan ini sudah berkali-kali ditampal namun tetap terus berlubang menunjukkan kaedah menampal tidak menyelesaikan masalah sebenar.

“Masalah ini sudah berlarutan sejak beberapa tahun lalu. Saya cadangkan agar Jabatan Kerja Raya (JKR) membina pembetung sebagai langkah penyelesaian,” katanya ketika dihubungi Borneo Network hari ini. 

Lubang besar berhampiran Rumah Morgan tersebut bukan sahaja membahayakan kenderaan kecil seperti motosikal, malahan tayar kenderaan berat termasuk lori pun boleh terperosok dan tersangkut. 

Pengguna jalan raya tiada pilihan dan terpaksa masuk ke lorong bersebelahan untuk mengelak lubang besar tersebut, dan ini boleh menyebabkan kemalangan apabila ada pihak cuai atau tidak bertimbang-rasa.
Next Post Previous Post