GPS letak calon PBB bertanding di DUN Jepak?

BINTULU— Gabungan Parti Sarawak (GPS) bakal meletakkan calon daripada Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N67 Jepak.

Pengerusi GPS yang juga Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, nama calon akan diumumkan selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh PRK.

“DUN Jepak merupakan kubu kuat PBB. Kita akan letakkan calon dari Parti PBB,” katanya yang juga Presiden PBB selepas merasmikan Majlis Pecah Tanah Onshore Gas Plant (OGP) Rosmari - Majoram di Tanjung Kidurong di sini, hari ini.

Kekosongan kerusi itu susulan kematian penyandang, Datuk Talip Zulpilip pada 15 September lalu.

Selasa lalu, Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar memberitahu sudah menyerahkan surat bertarikh 19 September 2023 kepada Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh mengenai kekosongan kerusi DUN Jepak. 

SPR dalam kenyataannya menetapkan 25 September ini untuk mengadakan Mesyuarat Khas PRK DUN N.67 Jepak.

Selaras dengan Artikel 21(5) Perlembagaan Negeri Sarawak yang memperuntukkan kekosongan luar jangka kerusi DUN N.67 Jepak, Sarawak, perlu diisi dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan kerusi tersebut dipastikan oleh SPR.

kapsyen
DUN Jepak merupakan kubu kuat PBB - Abang Johari | Gambar ihsan UKAS
Next Post Previous Post