Ibu bapa serah anak kembar kepada orang kerana miskin

PEKAN— Lantaran kemiskinan yang menghimpit, sepasang suami isteri muda terpaksa menyerahkan salah seorang daripada tiga anak kembar lelaki kepada orang.

Memetik laporan BuletinTv3, Roslinshah Roslan, 19, berkata setiap bulan dia terpaksa menyediakan lebih RM150 untuk membeli susu.

“Selain itu saya membiayai kos rawatan seorang anak kembar di Hospital Ampuan Afzan kerana masalah kesihatan selepas menjalani pembedahan.

“Dengan pendapatan sebagai operator kilang, saya tidak dapat mampu menampung perbelanjaan tiga anak kembar kami yang kini berusia empat bulan.

“Kami tiada pilihan namun terpaksa menyerahkan bayi pertama kepada ibu saudaranya,” katanya.

Roslinshah dan isterinya, Noralia Saleh, 20, reda dengan keputusan itu walaupun dalam keadaan terpaksa.

Terdahulu pasangan suami isteri yang menetap di Kampung Permatang Keledang menerima bantuan daripada berupa susu, lampin pakai buang, peralatan bayi, tilam dan bekas menyimpan air panas.

Bantuan hasil sumbangan badan bukan kerajaan dan individu itu disampaikan oleh Pengerusi Kelab 4x4 Orang Asli Pahang, Ir Mahat Mat Don.

Mahat dalam kenyataan di Facebook berkata, ia merupakan sumbangan kelab kali kedua kepada pasangan Orang Asli tersebut.

“Semoga dengan sumbangan ini dapatlah meringankan sedikit beban kepada pasangan dan bayi kembar tiga mereka,” katanya.

Gambar kredit Kelab 4x4 Orang Asli Pahang
Next Post Previous Post