Baru Bian kecewa projek SSGP Lawas dihentikan

LAWAS— Penutupan projek paip gas Sabah-Sarawak (SSGP) Petronas di bahagian Lawas buat selama-lamanya berikutan beberapa insiden letupan sehingga meragut nyawa tahun lepas mengundang kekecewaan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ba Kelalan, Baru Bian berkata perkembangan terbaharu ini sangat mengecewakan memandangkan Petronas banyak membawa manfaat besar kepada rakyat di kawasan itu.

“Petronas memainkan peranan penting dengan menyediakan pekerjaan kepada ramai anak muda, selain bantuan kepada penduduk kampung dan gereja melalui CSR mereka.

“Dengan penutupan bahagian saluran paip ini, sejumlah orang telah kehilangan pekerjaan dan kini perlu mencari pekerjaan alternatif,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Baru, beliau mengambil berat tentang insiden kebocoran dan letupan yang berlaku berlaku di sepanjang jajaran Lawas yang berlaku selama bertahun-tahun sejak operasi bermula.

“Namun saya berharap Petronas dapat mempertimbang keputusan untuk menghentikan projek ini memandangkan ia telah belanja berbilion-bilion untuk dilaksanakan.

“Petronas boleh mengambil langkah yang perlu untuk menambah baik struktur dan keselamatan saluran paip supaya operasi
boleh diteruskan.

“Walau bagaimanapun, saya faham bahawa mereka telah melakukannya penyiasatan dan mengambil kira faktor serius seperti tahap geobencana dan pergerakan tanah sebelum membuat keputusan muktamad mereka,” katanya.

Beliau pada masa yang sama menzahirkan terima kasih kepada Petronas kerana membantu rakyat di kawasan Lawas selama ini.

Rabu lalu, The Edge melaporkan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) mengumumkan pemberhentian sebahagian daripada saluran paip gas Sabah-Sarawak (SSGP) bernilai RM4.6 bilion, khususnya di bahagian Lawas.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik dipetik berkata, keputusan itu dibuat susulan tahap geobencana dan pergerakan tanah serta kemungkinan kejadian selanjutnya berlaku. 

“Petronas mengisytiharkan `force majeure’ atau perkara berkaitan bencana di luar kawalan manusia yang menghalang syarikat itu daripada memenuhi kontrak bekalan.

“Namun `force majeure’ hanya memberi kesan pada pembekalan gas ke fasiliti pengeluaran MLNG Dua. Fasiliti pengeluaran LNG yang lain di komplek itu akan terus beroperasi seperti biasa,” katanya.

Untuk rekod, pada 16 November 2022, berlaku letupan paip gas Petronas di jajaran Long Ugui ke Long Sukang di Lawas menyebabkan seorang maut manakala tiga lagi cedera.
Next Post Previous Post