Eksport koko negara catat RM4.3 bilion sehingga Julai ini - Fadillah

KUCHING— Jumlah pendapatan eksport koko negara mencecah RM4.364 bilion dalam tempoh Januari hingga Julai tahun ini, kata Datuk Seri Fadillah Yusof.

Timbalan Perdana Menteri berkata, koko adalah tanaman komoditi ketiga terbesar penyumbang nilai eksport negara selepas kelapa sawit dan getah. 

“Dalam tempoh 7 bulan tahun ini jumlah pendapatan eksport koko negara telah mencecah RM4.364 bilion manakala pada 2022, koko menyumbang sebanyak RM7.8 bilion kepada pendapatan eksport negara.

“Sumbangan ini telah meningkat 13.7 peratus berbanding pada tahun 2021. Justeru, sasaran pendapatan eksport pada tahun ini adalah RM8 bilion,” katanya pada Majlis Perasmian Hari Berandau Dan Koperasi Kluster Koko Sarawak 2023 di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Koko, Kota Samarahan hari ini. 

Fadillah yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata, keluasan tanaman koko terkini adalah seluas 5,985 hektar dan disasarkan meningkat sehingga 6,335
hektar hasil daripada pembukaan kawasan tanaman koko baharu. 

Katanya, sebanyak 24.6 peratus atau 1,473 hektar tanaman koko diusahakan di Sarawak. Tanaman koko di Sarawak tertumpu di kawasan Kota Samarahan dan Sarikei,
manakala bilangan petani koko di Sarawak sehingga kini adalah seramai 1,290 orang.

“Jumlah pengeluaran biji koko kering negara pada tahun 2022 adalah sebanyak 493 tan metrik. Sarawak mengeluarkan 20.7 peratus atau 102 tan
metrik.

Fadillah menambah, pada tahun 2022, sebanyak 44 tan biji koko telah dibeli oleh koperasi yang bernilai RM316,024. Sebahagian biji koko ini dijual semula ke kilang pengisar dan chocolatier di Semenanjung.

Manakala, sebahagian lagi diproses di Kompleks SARA CC untuk menghasilkan coklat jenama Magnificent Choc.

Operasi kompleks ini dijalankan oleh Koperasi Kluster Koko Sarawak Berhad atau ringkasnya 3KQ. 

“Ia merupakan koperasi dibawah pimpinan LKM yang dibangunkan untuk meningkatkan pendapatan pemain industri koko Sarawak melalui agihan pendapatan koperasi
kepada semua ahli koperasi. Koperasi ini mempunyai seramai 226 orang ahli yang berdaftar sehingga kini.

 Koperasi 3KQ melaksanakan beberapa aktiviti yang memberi keuntungan kepada semua ahli-ahlinya, seperti aktiviti jualan coklat Magnificient sebanyak RM69 ribu
telah diperolehi oleh koperasi pada tahun 2022. 

“Coklat Magnificient merupakan coklat keluaran Negeri Sarawak. Kitak orang mesti coba. Nang nyaman. 10. Selain itu, koperasi 3KQ turut melaksanakan beberapa
aktiviti lain seperti jual-beli biji koko kering, pemprosesan biji koko, penghasilan coklat blok dan pralin serta galeri jualan. 

Pada hari ini, sempena Hari Berandau dan Kluster Koko 2023, beliau merasmikan satu lagi produk aktiviti koperasi terbaharu iaitu komoditi-pelancongan atau agro
pelancongan dan education tour.
Next Post Previous Post