Jambatan bailey bernilai RM4.8 juta ganti Jambatan Sungai Musah

KAPIT—Kerajaan Sarawak akan menggantikan Jambatan Sungai Musah yang runtuh sejak seminggu dengan jambatan bailey, kata Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Menurutnya, pembinaan jambatan sepanjang 80 meter itu nanti merupakan jambatan sementara bagi menggantikan jambatan sedia ada yang telah retak dan runtuh itu.

"Ia menjadi keperluan mendesak pada masa sekarang kerana ianya merupakan jambatan utama yang menghubungkan penduduk di kedua-dua kawasan serta kawasan berdekatan yang lain," ujarnya.

Beliau berkata demikian sejurus selesai mengadakan lawatan kerja ke tapak Jambatan Sungai Musah di sini, hari ini.

Bagi tujuan itu katanya, kerajaan negeri memperuntukkan sejumlah RM4.8 juta bagi kos pembinaan jambatan termasuk jalan masuk dan keperluan pengangkutan penduduk di kedua-dua belah sungai.

Beliau sebagai memaklumkan bahawa Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah memperuntukkan dana sebanyak RM50 bagi tujuan memperbaiki sebarang kerosakan prasarana yang melibatkan kerja-kerja pembaikan jalan, jambatan dan lain-lain.

"Dana ini diletakkan di bawah Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak (SDMC) yang telah bersetuju untuk memperuntukkan dana untuk jambatan bailey ini dan keperluan lain," tegasnya.

Beliau dalam pada itu telah mengarahkan agar kajian mengenai pembinaan jamnatan itu akan dijalankan dalam tempoh sebulan dari sekarang sebelum kerja-kerja pembinaan dimulakan.

Uggah yang juga Menteri Pembangunan Infrastruktur dan Pelabuhan (MIPD) sebagai menambah bahawa di kawasan terbabit turut terdapat laluan alternatif yang merupakan jalan ladang dan boleh digunakan penduduk setempat.
Next Post Previous Post