Budak 11 tahun maut ditetak rakan bapa tiri
LAHAD DATU— Tindakan ayah tiri meninggalkan anak berusia 11 tahun di bawah jagaan rakan menjadi mimpi ngeri apabila kanak-kanak itu maut ditetak dalam kejadian di perumahan pekerja Felda Sahabat 50 di sini.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu ACP Rohan Shah Ahmad berkata dalam kejadian kira-kira 7.30 pagi itu, ibu dan bapa tiri mangsa yang juga warga asing serta pekerja am ladang di Felda berkenaan keluar bekerja dan meninggalkan mangsa bersama suspek yang merupakan rakan kepada bapa tiri.
“Mayat mangsa ditemukan berlumuran darah dengan kesan tetakan di kepala, leher selain putus tapak tangan kiri dipercayai dilakukan oleh suspek,“ katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau menambah, polis kini giat mengesan suspek warga Indonesia, dikenali sebagai Paulus Poka Lolo, 33, berbangsa Timor dan merupakan pekerja am di ladang sama.
Katanya, motif kejadian masih dalam siasatan, kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.