Bahana beli daging khinzir dalam talian, wanita rugi RM240,000

KUCHING— Pengurus sebuah syarikat di Miri kerugian RM240,000 selepas menjadi mangsa penipuan Business Email Compromise (BEC) berhubung pembelian daging khinzir sejuk beku dari luar negara.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu daripada seorang wanita berusia 20 semalam.

Katanya, mangsa telah berhubung dengan syarikat dikenali Friorificos Unidos S.A. melalui emel info@frigorificosunidossa.com bagi urusan pembelian
daging khinzir sejuk beku dari luar negara pada awal Jun 2023.

Beliau menambah, syarikat suspek menghantar katalog produk dan perbincangan lanjut berkenaan urus niaga tersebut.

“Syarikat mangsa kemudian telah berminat dan membuat pesanan sebanyak 28,000 kilogram terdiri daripada 11 jenis bahagian daging
khinzir sejuk beku daripada syarikat suspek.

“Mangsa telah melakukan tiga transaksi pembayaran wang keseluruhan berjumlah lebih kurang RM240,000 secara telegrafic
transfer ke dua akaun bank yang berbeza di sebuah institusi kewangan di Miri pada penghujung Julai 2023 sehingga
pertengahan bulan September 2023,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Beliau menambah, mangsa hanya menyedari telah ditipu setelah membuat semakan dengan
syarikat penghantaran pada pertengahan September 2023 dan dimaklumkan bahawa maklumat penghantaran tersebut wujud tetapi untuk syarikat lain.

Mangsa dimaklumkan bahawa emel syarikat telah digodam dan menerima aduan daripada beberapa pelanggan syarikat yang lain.

“Mangsa kemudian tampil membuat laporan polis untuk siasatan selanjutnya. Jumlah kerugian yang dialami syarikat mangsa bernilai
lebih kurang RM240,000,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.
Next Post Previous Post