Beri suapan kereta mewah, pemilik syarikat direman

KUALA LUMPUR-- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya telah menahan reman seorang pemilik syarikat kerana disyaki memberikan suapan sebuah kereta mewah bagi mendapatkan projek pengurusan fasiliti dan penyelenggaraan membabitkan sebuah kementerian bernilai kira-kira RM87 juta.

Menurut sumber, suspek wanita berusia lingkungan 30an itu dipercayai pemilik syarikat penyelenggaran dan pembersihan telah ditahan kira-kira jam 6.50 petang semalam ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.

"Suspek disyaki memberikan suapan berupa kereta mewah kepada pegawai kanan kementerian tersebut pada tahun ini bagi mendapatkan projek pengurusan fasiliti dan penyelenggaraan bagi tempoh lima tahun yang telah diluluskan pada 2021," kata sumber itu lagi.

Perintah reman selama empat hari bermula hari ini hingga 29 September 2023 telah dikeluarkan oleh Majistret Puan Aima Nabila Muhammad Azhar selepas pihak SPRM membuat permohonan tersebut di Mahkamah Majistret Putrajaya pagi tadi.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas, Dato' Tan Kang Sai ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut dan berkata, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009.
Next Post Previous Post