SK Nanga Entuloh tagih jawapan Sarawak Energy

KAPIT— Gangguan elektrik yang berlarutan terus menghimpit kehidupan warga pendidik dan murid-murid Sekolah Kebangsaan (SK) Nanga Entuloh, Sungai Merirai, Balleh dekat sini.

Lebih memilukan, kesusahan warga sekolah yang terpaksa bergelap seolah-olah tinggal dalam gua tidak mendapat perhatian sewajarnya, sedangkan sekolah itu pernah berjasa melahirkan dua wakil rakyat.

Menerusi perkongsian seorang guru sekolah, isu bekalan elektrik di SK Nanga Entuloh masih tiada penghujung dan memburukkan keadaan kerana tiada tindakan diambil oleh pihak berwajib.

“Pulai ke sekula, nadai karan! Pulai ke sekula, nadai karan! Seharian semalaman nadai karan! Bakani ka gawa badas? Uji kita madah ke aku bakani ka ngereja pengawa enggau manah?,

“Ikutkan rasa sekarang juga saya hendak pindah ke sekolah yang ada elektrik,” kata Fredo Perry dalam hantaran di Facebook.

Katanya, warga sekolah selama ini memendam perasaan dan cuba bersabar namun semakin hari masalah itu masih berulang dan tiada penyelesaian menyeluruh.

Fredo berkata, nasib yang menimpa warga sekolah bagai 'anak kera di hutan disusui, anak sendiri di rumah kebuluran’.

Beliau mendakwa, pihak Sarawak Energy Berhad (SEB) sehingga sekarang belum lagi memberikan apa-apa kenyataan secara bertulis kepada pihak sekolah mengenai masalah yang sedang berlaku. 

“Pihak sekolah terkapai-kapai dalam usaha memahami punca mengapa perkara ini berlaku sedangkan semua warga sekolah merupakan pembayar bil elektrik secara bulanan, bukannya elektrik percuma bantuan kerajaan. 

“Kami adalah pelanggan sebagaimana pelangggan-pelanggan lain di kawasan pekan Kapit dan sebagainya.

“Lebih memeritkan lagi apabila tugas dan tanggungjawab kami di sekolah terjejas sepenuhnya apabila ketiadaan bekalan elektrik lebih-lebih lagi jika keadaan ini berpanjangan,” katanya.

Ujar beliau, ketiadaan elektrik menyukarkan mereka untuk menyimpan makan mentah asrama, melakukan tugasan guru seperti menyimpan data, kursus dan menyiapkan laporan dalam talian selain keselamatan murid terutama pada waktu malam.

“Saya mohon mana-mana pihak agar bertindaklah segera. Kasihanilah kami yang merasai kesusahan ini. Jangan tunggu isu ini tular sekali lagi barulah hendak melakukan sesuatu tindakan bak kata pepatah, 'sudah terhantuk baru tengadah'!

“This statement represents us all. Don't put the blame on us. Place the utmost priority to rectify the problems,” katanya.

Menurut Fredy, sebelum ini penggunaan solar mengalami masalah ketiadaan elektrik adalah disebabkan oleh bencana alam seperti pokok tumbang dan angin kencang.


“Kini menggunakan tenaga grid, berlaku gangguan disebabkan kerosakan bahagian mekanikal dan teknikal. Mengapa masalah ini tidak dapat diselesaikan sehingga kini? Mengapa pihak SEB tidak menyediakan sebarang alternatif kepada pihak sekolah agar pengoperasian sekolah tidak terjejas atau dapat dikurangkan?,” katanya.

“Sekurang-kurangnya pihak SEB berkomunikasi dengan pihak sekolah kerana kami adalah antara pengguna yang sangat memerlukan bekalan elektrik yang stabil,” katanya.
Next Post Previous Post