Wanita dari Sibu rugi RM1.06 juta terjerat ‘𝒍𝙤𝒗𝙚 𝙨𝒄𝙖𝒎’ jurutera London

SIBU— Seorang kerani wanita kerugian kira-kira RM1.06 juta akibat jerat sindiket ‘Love Scam’ selepas terpedaya dengan seorang lelaki yang dikenali melalui Facebook sejak pertengahan 2022 lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sarawak DCP Dato Mancha Ata berkata, perkenalan antara mangsa yang berusia 50an itu dengan lelaki bernama ‘Thomas Yeng Leong’ yang mendakwa bekerja sebagai jurutera di London berterusan melalui Whatsapp.

“Suspek mengatakan bekerja sebagai jurutera di London dan meminta bantuan mangsa membuat pembayaran pembelian bahan kimia untuk tujuan pekerjaannya. 

“Mangsa telah melakukan 25 transaksi pemindahan wang berjumlah lebih kurang RM395,000.00 ke lima akaun bank berlainan pada awal Ogos 2022 sehingga penghujung September 2022,”katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Mancha menambah, pada September, suspek berjanji akan datang ke Malaysia dan beberapa hari kemudian mangsa telah dihubungi pihak kastam yang mengatakan suspek telah ditahan di Thailand kerana membawa wang tunai dolar melebihi had ditetapkan dan bayaran denda dikenakan untuk membebaskan suspek. 

Katanya, mangsa kemudian telah melakukan tiga transaksi pindahan wang berjumlah lebih kurang RM255,000.00 ke tiga akaun bank
berlainan pada penghujung september sehingga awal Oktober lalu.

“Selain itu, mangsa turut melakukan 36 transaksi pindahan wang berjumlah lebih kurang RM414,000.00 ke 16 akaun bank berlainan pada awal Mei sehingga penghujung Julai 2023 bagi tujuan pembelian barang kerja suspek, urusan dating di malaysia, urusan kecemasan dan lain-lain lagi tujuan.

Katanya, mangsa mula menyedari ditipu setelah suspek masih meminta mangsa membuat pembayaran atas pelbagai alasan tetapi mangsa masih gagal berjumpa dengan suspek. 

“Anggaran jumlah kerugian keseluruhan yang dialami mangsa bernilai lebih kurang RM1.06 juta. Mangsa kemudian
tampil membuat laporan untuk siasatan lanjut pihak polis,” ujar beliau.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan iaitu menipu dan dengan cara tidak jujur mendorong supaya harta diserahkan yang
membawa hukuman penjara selama tempoh tidak kurang dari satu tahun dan tidak lebih dari sepuluh tahun, dan dengan sebat, dan bolehlah juga dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Next Post Previous Post