Suami durjana, pukul isteri bila ditegur ambil dadah ditangkap

KUCHING-- Pukul isteri apabila ditegur mengambil syabu, seorang suami ditangkap polis di sebuah rumah sewa di Matang Jaya di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek berusia 26 tahun ditangkap selepas isterinya tampil membuat laporan polis pada hari yang sama.

"Semasa kejadian, si isteri, 23, telah menegur suspek kerana membawa kawannya datang ke rumah untuk menghisap dadah. 

"Si isteri dikatakan telah membebel kepada suspek menyebabkan kawan suspek balik. 

"Ekoran daripada itu, suspek berasa marah dan terus bertindak agresif dengan menumbuk isterinya berkali-kali dengan menggunakan tangan di bahagian kepala," katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya, pasangan terbabit baharu berkahwin setahun lalu, mempunyai seorang cahaya mata perempuan dan ditinggal bersama di rumah sewa berkenaan.

Katanya lagi, kejadian pukul itu dilaporkan berlaku pada 1 petang Ahad di rumah sewa tersebut.

Selepas dipukul, Abang Zainal berkata, mangsa melarikan diri masuk ke dalam bilik untuk mengelak daripada terus dipukul oleh suspek. 

"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kesakitan iaitu sakit dan lebam pada bahagian sebelah kiri kepala. 

"Punca kejadian disebabkan mangsa (isteri) menegur suspek kerana membawa kawannya menghisap dadah di rumah sewa mereka. 

"Suspek juga seorang yang panas baran dan sering mengamuk," ujarnya.

Tegasnya, suspek kini ditahan di Balai Polis Beratok untuk siasatan lanjut.
 
"Suspek juga telah direman di Mahkamah Kuching hari ini dan kes ini akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya dengan cadangan pertuduhan ke atas suspek.

Tambahnya, kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan /18A AKRT.
Next Post Previous Post