Dr Sim bersedih, kebakaran paling tragis sejak jadi ADUN Batu Kawa



KUCHING— Timbalan Premier Sarawak Dato Dr Sim Kui Hian menzahirkan takziah kepada keluarga kanak-kanak lelaki berusia enam tahun tahun yang terkorban dalam kebakaran di Lorong 16, Rancangan Perumahan Rakyat (RPR) Batu Kawa semalam.

Menerusi hantaran di Facebook, Dr Sim yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawa turut berkongsi amat terkesan dengan tragedi itu dan mendoakan keluarga mangsa diberikan kekuatan.

“Sangat menyedihkan, ini kali pertama kebakaran yang tragis berlaku melibatkan kehilangan nyawa sejak saya menjadi wakil rakyat Batu Kawa.


“Saya melahirkan perasaan simpati kepada keluarga dan semua mangsa yang terlibat. Saya doakan mangsa yang melecur dan ketika sedang ini sedang mendapatkan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) diberi kesembuhan,” katanya.

Dr Sim turut berterima kasih kepada pihak Bomba yang bertindak pantas dalam mengekang api kebakaran merebak dan memusnahkan lebih banyak rumah.

Dr Sim menyampaikan bantuan wang tunai kepada mangsa kebakaran di RPR Batu Kawa. Gambar FB Dr Sim Kui Hian

Tambahnya, beliau turut mengadakan perbincangan dengan Bomba untuk mengadakan lebih banyak program kesedaran dan menyelamatkan diri dalam kebakaran di kalangan kanak-kanak.

Beliau turut berterima kasih kepada ketua kampung, Bulan Sabit Merah Malaysia dan agensi kerajaan berkaitan di atas kerjasama dengan pusat khidmat Gabungan Parti sarawak (GPS) Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dalam memberikan bantuan dan tempat tinggal sementara kepada mangsa.

Semalam media melaporkan,seorang kanak-kanak lelaki berusia 6 tahun ditemukan rentung oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, ketika melakukan kerja 'overhaul' selepas api berjaya dipadam.

Dua buah rumah teres dua tingkat musnah sepenuhnya manakala tiga lagi terbakar antara 20 hingga 60 peratus dalam kebakaran yang berlaku kira-kira jam 1.12 petang itu.
Next Post Previous Post