Malaysia, Quanzhou sepakat promosi minyak sawit

TPM Fadillah menerima cenderamata daripada Cai Zhansheng semasa kunjungan hormat semalam.

KUALA LUMPUR— Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Fadillah Yusof menerima kunjungan hormat Datuk Bandar Kerajaan Rakyat Perbandaran Quanzhou, Cai Zhansheng dalam usaha memperluas kerjasama industri kelapa sawit dan pemakanan.

Fadillah berkata, Quanzhou merupakan sebuah bandar komersial dan zon ekonomi yang penting di China. 

“Saya berbesar hati menerima kunjungan hormat TYT Cai Zhansheng, Datuk Bandar Quanzhou, China di pejabat saya.

“Semoga usaha ini dapat meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala yang boleh memberi manfaat bersama kepada Malaysia dan China,” katanya dalam hantaran di Facebook selepas menerima kunjungan di Kementerian Perladangan dan Komoditi, Putrajaya semalam. 

Minyak Sawit Malaysia (MPOB) menerusi kenyataan berkata, turut dibincangkan pada pertemuan ialah mengenal pasti peluang perdagangan, menggalakkan amalan mampan, menangani rangka kerja kawal selia dan meneroka prospek pelaburan yang berpotensi dalam sektor minyak sawit.

“Kunjungan hormat ini bagi meningkatkan permintaan minyak sawit Malaysia oleh Quanzhou selaku pelabuhan utama China bagi pedagang asing.

“Ia juga bagi memupuk perkongsian antarabangsa dalam industri sawit dan perbincangan ketika lawatan ini dijangka membuka jalan ke arah kerjasama dan hubungan perdagangan yang menguntungkan kedua-dua negara,” kata kenyataan itu.

Pada lawatan itu, MPOB turut memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Kerajaan Rakyat Perbandaran Quanzhou bagi promosi minyak sawit Malaysia dalam pengeluaran makanan Quanzhou.

MoU itu ditandatangani oleh Ketua Pengarah MPOB Datuk Ahmad Parveez Ghulam Kadir dan Ketua Pengarah Biro Perdagangan Perbandaran Quanzhou, Zhang Xiaohong yang disaksikan Cai dan Pengerusi MPOB Datuk Mohamad Helmy Othman Basha.

Gambar Credit FB TPM Fadillah Yusof
Next Post Previous Post