Bintulu kerap terputus diesel, KPDNHEP Bintulu buta? soal Tiong

BINTULU— Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing meminta penjelasan daripada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) berhubung isu bekalan diesel yang kerap terputus di kawasan itu.

Beliau berkata, masalah terputus bekalan ini bukan sesuatu yang baharu malah sudah kerap berlaku sehingga menjejaskan pengguna yang terpaksa bergelap kerana ketiadaan bahan api.

“Saya mahu mengingatkan agensi yang bertanggungjawab dalam perkara ini untuk bertindak segera.

“Sekiranya bekalan diesel ini tidak pulih hari ini, saya akan bangkitkan perkara ini di Kabinet pada Rabu (esok). Jika didapati berlaku sebarang aktiviti haram yang menyebabkan masalah ini, bersiap sedialah untuk menghadapi tindakan,” tegasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Katanya, masalah terputus bekalan diesel menyebabkan orang ramai melakukan pembeli panik menyebabkan keadaan sesak di stesen-stesen minyak.

Selain itu, masalah ini turut menjejaskan rutin harian pendududk selain semua industri terutama pengangkutan yang menggunakan diesel.

Tiong yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkata, KPDHNEP Bintulu harus bertegas dengan pengusaha stesen minyak bertempatan dan memastikan bekalan bahan api sentiasa mencukupi.

“Saya mahu tahu mengapa masalah ini selalu berlaku di Bintulu? Sedangkan di kawasan lain di negara ini tak pun seteruk ini. Sangat jelas masalah bekalan di sini berpunca daripada faktor manusia. Namun KPDNHEP Bintulu berdiam dan tidak melaksanakan strategi yang sepatutnya bagi mengelakkan masalah ini berulang.

“Apa yang KPDNHEP Bintulu lakukan sepanjang hari bekerja? Diesel adalah keperluan asas untuk industri pengangkutan, jadi mengapa mereka seolah-olah mengabaikan masalah yang menjejaskan industri ini?

“Adakah mereka buta atau sengaja enggan mengatasi isu ini?,” soal Tiong lagi.

Menurut beliau, cara mereka berdiam dan membiarkan keadaan bertambah buruk seolah-olah memberitahu rakyat tiada kementerian yang bekerja di Bintulu.

Beliau meminta KPDNHEP Bintulu melaksanakan siasatan bagi mencari punca dan menyelesaikan masalah ini secara menyeluruh.

“Saya tidak hairan jika ada pihak yang cuba mengawal bekalan diesel atau cuba mengaut keuntungan melalui monopoli. Saya mahu pihak berkuasa menyiasat kerana jenayah seumpama ini bukan perkara baru. Unit penguatkuasaan harus bertindak pantas dan tegas dan pelaku harus dibawa ke muka pengadilan,”tegas Tiong.
Next Post Previous Post