Premier Sarawak bawa misi penting ke Sweden

KUCHING— Lawatan penanda aras Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg selama dua hari ke Sweden membawa misi penting dalam menggubal Ordinan Ombudsman Sarawak dengan menjadikan negara itu sebagai model.

Menurut kenyataan Pejabat Premier, Abang Johari akan memulakan lawatan kerja dua hari ke negara itu mulai Isnin ini.

“Lawatan ini penting menanda aras perundangan dan pelaksanaan ombudsman.

“Premier sebelum ini memaklumkan hasrat kerajaan Sarawak untuk memperkasakan peranan dan fungsi ombudsman melalui penggubalan Ordinan Ombudsman Sarawak dengan Sweden sebagai model.

“Sweden dipilih sebagai rakan kongsi penanda aras kerana terkenal dengan warisan yang kaya dan terhormat dalam menegakkan prinsip demokrasi, hak asasi manusia, ketelusan dan akauntabiliti,” menurut kenyataan itu.

Institusi Ombudsmannya yang dipandang tinggi memainkan peranan penting dalam melindungi hak dan kepentingan rakyat, di samping menggalakkan tadbir urus yang baik dan pentadbiran awam yang berkesan sejak penubuhannya pada 1809.

Semasa lawatan, Premier dan dan rombongan akan terlibat dengan pihak berkuasa tenaga Sweden dan pengendali kuasa.

Beliau kemudian meneruskan lawatan ke Norway untuk mendapatkan pandangan tentang pembangunan dan pengendalian kemudahan CCS dan hidrogen darat di Bergen.

Semasa di Norway, Abang Johari akan bertemu dengan pegawai Kementerian Petroleum dan Tenaga dan mengadakan perbincangan dengan pemain industri mengenai inisiatif CCS, pelepasan sifar bersih dan penyahkarbonan.

“Premier kemudian ke London untuk menamatkan lawatan selama seminggu dan bertemu dengan pegawai tertinggi Shell di ibu pejabat multinasional itu di ibu negara Britain,” katanya.

Beliau akan diiringi Timbalan Premier yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Pelaburan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki dan beberapa pegawai tertinggi kerajaan dan GLC.
Next Post Previous Post