Pinjam RM60,000 tak sampai dua minggu dipaksa bayar RM160,000

KUCHING-- Padah pinjam RM60,000 daripada pemberi pinjaman wang tidak berlesen, seorang lelaki kini dipaksa membayar RM160,000.

Pembantu Khas kepada Ahli Parlimen Stampin Chong Chieng Jen, Michael Kong Feng Nian berkata, wang RM60,000 yang dipinjam mangsa dalam tempoh dua minggu sahaja iaitu dari 20 Julai 2023 hingga 03 Ogos 2023, kini didesak untuk menyelesaikan sejumlah besar RM160,000 sebagai penyelesaian penuh hutang berkenaan.

"Insiden menyedihkan baru-baru ini melibatkan "Encik Chai" menjadi peringatan yang jelas tentang kesan buruk berurusan dengan peminjam wang tidak berlesen.  

"Encik Chai meminta bantuan daripada Yang Berhormat (YB) Chong Chieng Jen dan saya sendiri selepas mengalami gangguan tanpa henti oleh sekumpulan peminjam wang tidak berlesen terbabit," katanya dalam kenyataan hari ini.

Justeru, beliau meminta orang ramai berhati-hati dengan pemberi pinjam wang tidak berlesen.

"Adalah amat penting bagi orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan mengelakkan sebarang penglibatan dengan peminjam wang tidak berlesen.  

Mengulas lanjut kes itu, Michael Kong berkata keadaan menjadi lebih rumit kerana pemberi pinjaman wang tersebut telah berjaya mengesan dan menghubungi ahli keluarga Encik Chai.

Ini jelasnya, menyebabkan mereka mengalami gangguan yang tidak wajar dalam usaha mereka untuk mendapatkan bayaran.

"Walaupun diakui bahawa keputusan Encik Chai untuk mendapatkan dana daripada peminjam wang adalah tidak wajar, secara moral dan etika adalah salah kerana hutang boleh melonjak daripada RM60,000 kepada RM160,000 dalam masa beberapa minggu.  

"Amalan tidak bertanggungjawab ini sama sekali tidak boleh diterima. Sebagai tindak balas kepada isu yang membimbangkan ini, saya telah menemani Encik Chai untuk membuat laporan polis untuk menangani gangguan dan hutang yang melambung," tegasnya.

Tambahnya, insiden ini juga menunjukkan trend yang membimbangkan, kerana semakin ramai individu yang mendekatinya baru-baru ini, mendapatkan bantuan dalam perkara yang sama.  

"Dalam era teknologi yang maju hari ini, peminjam wang tidak berlesen telah menjadi mahir mengeksploitasi platform digital untuk mendekati mangsa yang tidak curiga dan mengeluarkan maklumat peribadi dan sulit.

"Sehubungan dengan perkembangan ini, saya sangat menyarankan agar masyarakat tidak terlibat dengan peminjam wang tidak berlesen.  

"Saya menyeru semua orang untuk mempertimbangkan institusi kewangan berlesen sebagai sumber bantuan kewangan yang bertanggungjawab dan boleh dipercayai, sekiranya perlu," ujarnya lagi.
Next Post Previous Post