Penampakan Orang Utan di Gunung Lesong, Sri Aman

KUCHING— Kamera perangkap WWF Malaysia buat pertama kali berjaya merakam kelibat tiga ekor Orang Utan di hutan Gunung Lesong, Sri Aman.

Pakar Biologi Lapangan Kanan WWF Malaysia Lukmann Haqeem Alen berkata, perkembangan ini suatu yang menarik dalam meningkatkan usaha melindungi hutan di luar Taman Negara Gunung Lesong.

“Perkembangan ini amat bermakna kerana buat pertama kali kami berjaya merakamkan hidupan liar itu.

“Berdasarkan saiz badan dan ciri muka yang berjaya dirakaman, terdapat tiga ekor Orang Utan.

“Salah satu imej yang dirakam menunjukkan ibu Orang Utan bersama bayinya, yang menjadi petanda positif bahawa populasi masih membiak di kawasan ini,” katanya dalam kenyataan bersama dengan Jawatankuasa Komuniti Ekopelancongan Gunung Lesong, Agensi Pembangunan Sri Aman (SADA), pada Rabu.

Sementara itu, pegawai tadbir khas SADA Datuk Indit Bangai, berkata agensi itu akan terus bekerjasama dengan pihak berkepentingan utama, termasuk WWF-Malaysia, untuk membangunkan model ekopelancongan berasaskan komuniti untuk kawasan itu dan untuk memulihara Orang Utan dan habitat tersebut.

"Kami sememangnya gembira dengan imej perangkap kamera orang utan di kawasan ini," katanya.

Gunung Lesong telah diwartakan sebagai taman negara pada tahun 2013 kerana kehadiran orang utan di gunung itu.

Gambar kredit WWF Malaysia Lukmann Haqeem
Next Post Previous Post