Ibu kandung bayi perempuan yang dijumpai di Moyan Square berjaya ditangkap

KUCHING-- Polis berjaya memberkas ibu kandung kepada bayi perempuan yang dijumpai di kawasan tong sampah berdekatan sebuah pasar raya di Moyan Square, Batu Kawa hari ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Padawan DSP Lim Jaw Shyong berkata, suspek wanita tempatan yang belum berkahwin, berusia 22 tahun berjaya dijejaki dan ditangkap sekitar jam 11.20 pagi tadi.

"Wanita berkenaan kemudian dibawa ke balai untuk siasatan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mengenai bayi malang itu, Lim berkata bayi tersebut telah dihantar ke Hospital Umum Sarawak untuk rawatan selanjutnya serta pemantauan. 

Tegasnya, kes disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

"Jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan pemenjaraan selama tempoh sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali. 

"Orang ramai diminta tidak membuat sebarang spekulasi negatif yang boleh mengganggu siasatan. 

"Dalam kes ini, pihak polis telah berhubung dengan pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk membantu pengurusan bayi tersebut," jelasnya.

Terdahulu, Lim berkata, polis telah menerima laporan berhubung penemuan bayi perempuan itu sekitar jam 9.18 pagi yang dijumpai di kawasan tempat pembuangan sampah kawasan Moyan Square Batu Kawa.

Katanya, bayi itu telah dijumpai di dalam sebuah kotak oleh pekerja pembersihan daripada syarikat pengurusan pembuangan sampah ketika kerja-kerja pemunggahan sampah di lokasi pada kira-kira 6.50 pagi.

"Curiga dengan kandungan kotak tersebut, pekerja daripada syarikat terbabit telah membuat pemeriksaan dan mendapati seorang bayi dengan uri yang telah dipotong berada di dalam.

"Saksi terus membawa bayi bersama dengan kotak tersebut di kawasan berdekatan pasar raya agar orang awam dapat memaklumkan kepada pihak berkuasa," katanya. 

Susulan dengan itu, katanya lagi, dua orang awam wanita seterusnya telah membawa bayi tersebut ke Klinik Kesihatan Batu Kawa untuk segera mendapatkan rawatan serta pemeriksaan. 

Tambahnya, hasil pemeriksaan daripada doktor bertugas, bayi tersebut mempunyai cukup sifat namun agak lemah kerana kelaparan. 

"Namun tiada sebarang kesan kecederaan di tubuh badan," ujarnya.

Next Post Previous Post